suria

PM Australia Serah Masa Depan Ditangan Wakil Rakyat Partinya

CANBERRA: Perdana Menteri Australia, Julia Gillard telah memperjudikan masa depan kepimpinannya dengan menyeru ahli-ahli parlimen dari kalangan Parti Buruh yang dipimpinnya mengundi sama ada mahu beliau terus memimpin atau sebaliknya.

Beliau mengambil keputusan tersebut ekoran perletakan jawatan Menteri Luar Kevin Rudd yang juga merupakan bekas perdana menteri dan pemimpin Parti Buruh yang Gillard sendiri tumbangkan melalui cara yang sama dua tahun lalu.

Rudd telah mengumumkan peletakan jawatannya semalam sebagai apa yang para penganalisis politik anggap sebagai langkah seterusnya untuk mencabar kepimpinan Gillard ketika sesi parlimen bermula Isnin ini.

Undian yang dicadangkan oleh Gillard itu dijangka akan berlangsung pada Isnin atau Selasa depan.

Apa yang akan berlaku minggu depan mungkin akan membawa kepada kejatuhan kerajaan pimpinan Gillard dan pilihan raya umum awal.

Rudd pula dijangka mengumumkan pendirian seterusnya sebaik sahaja tiba dari Amerika Syarikat esok (Jumaat).

Beliau tidak menyebut akan mencabar Gillard tetapi cuma berkata, Parti Buruh akan mengalami kekalahan sekiranya Gillard masih lagi memimpin parti itu menjelang pilihan raya akan datang.

Walaupun Rudd masih belum menyatakan pendirian sama ada akan mencabar Gillard dalam pengundian minggu depan tetapi Gillard telah dapat meneka apa yang akan berlaku.

Kata Gillard, jika beliau tidak mendapat mandat baru daripada ahli-ahli parlimen Buruh dalam pengundian minggu depan beliau akan menyerahkan kuasa kepada kepimpinan baru dan menyeru Rudd juga melakukan perkara yang sama jika kalah.

"Isu ini (perbalahan antaranya dengan Rudd) hanya dapat diselesaikan menerusi kotak undi," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Artikel Berikut

Artikel Lain