suria

Pengasas Syarikat Implan Payu Dara Didakwa Melakukan Kecederaan Tanpa Niat

MARSEILLE (Perancis): Pengasas sebuah syarikat implan payu dara Poly Implant Prothese (PIP), Jean-Claude Mas, 72, didakwa atas pertuduhan melakukan kecederaan tanpa niat pada Jumaat.

Dianggarkan antara 400,000 wanita di seluruh negara dipercayai memakai implan buatan syarikat itu.

Operasi syarikat tersebut dihentikan pada 2010 selepas badan kesihatan di sini mendapati implan berkenaan diperbuat daripada silikon gred industri yang menyebabkan ia mudah pecah.

Mas ditahan di selatan bandar Marseille pada Khamis bagi membantu siasatan.

Peguamnya, Ynes Haddad berkata, Mas didakwa atas pertuduhan melakukan kecederaan tanpa niat tetapi dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu siasatan lanjut.

"Klien saya memberi kerjasama baik dengan polis dan menggariskan tanggungjawab semua pegawai syarikat dan pengedar produk keluaran syarikatnya," katanya.

Doktor di Perancis melaporkan terdapat 20 kes kanser di kalangan wanita yang memakai implan jenama itu, 16 daripadanya menghidap kanser payu dara, walaupun belum disahkan sama ada ia berkaitan dengan pemakaian produk tersebut.

Selain Perancis, Jerman dan Republik Czech menyarankan pemakai jenama berkenaan mengeluarkan implan mereka, manakala Britain pula mengarahkan wanita yang memakainya menjalani pemeriksaan lanjut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

11 Maut Dalam Runtuhan Bangunan

Artikel Lain