suria

Polis Tahan Remaja Disyaki Tembak Tentera

SAN BERNARDINO, CALIFORNIA: Polis pada Isnin, menahan seorang remaja yang disyaki menembak seorang tentera yang sedang menyertai majlis meraikan kepulangannya selepas selamat dalam serangan bom di Afghanistan.

Polis berkata, remaja terbabit, Ruben Ray Jurado menyerah diri kepada pihak berkuasa di Chino Hills yang terletak kira-kira 55 kilometer dari Los Angeles.

Remaja berusia 19 tahun itu dikhendaki atas dakwaan cubaan membunuh Christopher Sullivan, 22.

Pihak berkuasa mendakwa, Jurado menembak Sullivan dalam parti itu pada Jumaat, ekoran pergaduhan yang berlaku dengan abang mangsa berhubung pasukan bola lisut.

Sarjan Gary Robertson berkata, Jurado menumbuk abang mangsa menyebabkan Sullivan yang pernah sama-sama menganggotai pasukan bola lisut bersama Jurado masuk campur.

Jurado kemudiannya mengeluarkan pistol dan melepaskan beberapa tembakan yang terkena pada leher Sullivan.

Saudara Sullivan berkata, penerima anugerah Purple Heart - diberikan kepada tentera yang cedera di medan peperangan - terkena tembakan sebanyak dua kali menyebabkan kecederaan di tulang belakang yang mengakibatkan mangsa lumpuh.

Ibu mangsa, Suzanne Sullivan memberitahu Los Angeles Times bahawa, doktor menjangkakan anaknya akan lumpuh dari paras leher ke bawah.

“Saya tidak lagi mempunyai sebarang emosi. Emosi saya telah hilang,” kata Suzanne.

“Dia tidak sepatutnya dilayan sebegini. Dia seorang anak dan lelaki yang hebat.”

Pihak berkuasa pada Isnin juga mengesahkan Jurado ditahan di Jabatan Polis San Bernardino.

Polis turut mengesahkan lelaki tersebut telah melantik peguam, bagaimanapun tidak mendedahkan nama peguam terbabit.

Sullivan sebelum ini pernah mengalami kecederaan dalam serangan bom berani mati di Wilayah Kandahar pada tahun lalu.

Akibat serangan itu, Sullivan mengalami retak tulang rahang dan juga kerosakan otak, bagaimanapun dia kembali sembuh selepas mengikuti rawatan di Kentucky yang kini menjadi lokasi penugasannya.

Dia dilaporkan sedang bercuti semasa kejadian berlaku.

The Times melaporkan dia menyertai tentera pada tahun 2009.

Seorang tentera yang pernah berkhidmat bersama Sullivan, Fabian Salazar berkata, Sullivan mengalami kecederaan selepas bangun untuk membantu rakan pasukan yang terkena bom, walaupun semasa itu dia sendiri tercampak sejauh beberapa kaki akibat letupan tersebut.

“Saya tahu dia akan menggadaikan nyawa untuk abangnya,” kata Salazar.

“Dan jika kamu bertanya kepadanya sama ada dia sanggup melakukannya sekali lagi.. dia akan menjawab ya.

“Itu adalah sifat Sullivan.” - AP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain