suria

Kumpulan Bersenjata Serang Bas Penumpang

VERACRUZ: Sekumpulan lima lelaki bersenjata telah bertindak menyerang tiga buah bas penumpang di Teluk Mexico di sini pada Khamis sehingga mengorbankan tujuh penumpang sebelum pembunuh-pembunuh itu dikejar dan ditembak mati oleh pihak tentera.

Jurucakap kerajaan negeri Veracruz, Gina Dominguez berkata, kumpulan lelaki bersenjata itu bertindak untuk melawan namun ditembak mati dalam konfrontasi dengan pihak tentera selepas itu.

Mereka semua mempunyai senjata dan menaiki kenderaan kalis peluru.

Dominguez berkata, walaupun identiti penyerang tersebut belum dikenal pasti namun lelaki yang terbunuh itu disyaki terlibat dalam serangan berdasarkan keterangan saksi.

Sebelum itu, kumpulan lelaki bersenjata terbabit telah membunuh empat orang di bandar El Higo di utara Veracruz di mana mereka aktif dalam kegiatan dadah.

Dominguez bagaimanapun berkata, pembunuhan tersebut tidak mempunyai kaitan dengan serangan bas.

Tragedi berdarah dalam serangan bas menjelangnya perayaan Hari Krismas itu mengingatkan kembali memori terhadap pembunuhan ngeri melibatkan 12 bas penumpang di mana mayat mereka dijumpai dalam satu kubur besar di negeri jiran Tamaulipas pada April lalu.

Sebanyak 193 mayat dijumpai dalam 26 kubur dan difahamkan kebanyakan mereka merupakan rakyat Mexico yang mahu berhijrah ke Amerika Syarikat, kata seorang pegawai.

Bagaimanapun tiada persamaan antara serangan bas di sini pada Khamis dan pembunuhan yang berlaku di Tamaulipas. - AP

Artikel Berikut

Artikel Lain