suria

MediaCorp Menangi Anugerah Penyiar TV Satelit Bumi

SINGAPURA: Penyiar serantau, MediaCorp, memenangi Anugerah Penyiar TV Terestrial Terbaik tahun ini pada Anugerah Televisyen Asia ke-12 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini malam tadi. MediaCorp juga memenangi anugerah Penyiar TV Terestrial Terbaik tahun lepas. Sejumlah 1,040 penyertaan diterima daripada 14 negara.

Negara-negara itu ialah Australia, Bangladesh, China, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia, New Zealand, Filipina, Singapura, Taiwan dan Thailand, demikian menurut Channel NewsAsia, sebuah stesen TV tempatan.

MediaCorp mendapat 30 pencalonan bagi tahun ini, sama seperti tahun lepas, dan ia merupakan pengulangan peristiwa yang manis apabila ia merangkul Anugerah Penyiar TV Terestrial Terbaik itu sekali lagi.

Mengulas tentang anugerah itu, Ketua Pegawai Eksekutif MediaCorp, Shaun Seow, berkata, "Sebenarnya kami merasa rendah diri apabila melihat kualiti pencalonan tahun ini, dan ia sememangnya semakin meningkat, dan pengiktirafan dalam kalangan yang terbaik di Asia ini benar-benar merupakan satu penghormatan bagi kami."

Program Saluran 5 MediaCorp, "The Noose Season 4" juga memenangi "Anugerah Program Komedi Terbaik" pada Anugerah Televisyen Asia tahun ini, manakala pelakon Suhaimi Yusof, merangkul "Anugerah Persembahan Komedi Terbaik" bagi peranannya dalam rancangan itu.

Program Channel NewsAsia "Stressbuster" membawa pulang "Anugerah Program Gaya Hidup Terbaik".

Sebanyak 39 anugerah disampaikan dengan CNN International memenangi Anugerah Saluran Kabel dan Satelit Terbaik dan Anugerah Rangkaian Terbaik.

Tiga kategori baharu diperkenalkan tahun ini iaitu Program Pendidikan Prasekolah Terbaik, Lagu Tema Terbaik dan Lakon Layar Drama Terbaik. - BERNAMA

Artikel Lain