Saintis Kini Sahkan Glasier Himalaya Sedang Cair - Dunia | mStar

Saintis Kini Sahkan Glasier Himalaya Sedang Cair

KATHMANDU: Para saintis yang membuat kajian tentang pemanasan global mengesahkan bahawa glasier di pergunung Himalaya iaitu banjaran tertinggi di muka bumi kini sedang mencair pada kadar yang paling pantas dalam tempoh 30 tahun.

Penemuan itu, yang diterbitkan dalam tiga laporan oleh Pusat Pembangunan Integrasi Gunung Antarabangsa (ICIMOD), menunjukkan glasier di sekitar Himalaya telah menguncup sebanyak 21 peratus dan di Bhutan pula sebanyak 22 peratus dalam tempoh 30 tahun.

Laporan ini yang dibentangkan pada Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Iklim di Durban, Afrika Selatan, merupakan yang paling komprehensif yang pernah dilaporkan mengenai status ais atau glasier yang sedang mencair di banjaran Himalaya.

Ini mengesahkan kebimbangan sebahagian besar saintis yang membuat jangkaan bahawa glasier di banjaran tersebut akan cair sepenuhnya menjelang 2035.

Projek selama tiga tahun ICIMOD yang ditaja oleh Kerajaan Sweden menunjukkan 10 litupan glasier yang dikaji memperlihatkan pengucupan yang bukan sahaja ketara tetapi pantas dari tahun 2002 hingga 2005.

Satu lagi kajian mendapati, terdapatnya pengurangan taburan salji yang ketara pada sepanjang banjaran Himalaya dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

"Laporan ini memberikan indikasi yang jelas di manakah akan berlaku perubahan yang ketara pada eko-sistem global," kata Rajendra Pachauri, pengerusi Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim Dunia(IPCC).

Kebimbangan saintis ialah bagaimanakah perubahan pada iklim di banjaran itu akan menjejaskan kehidupan 1.3 bilion manusia yang bermastautin di sepanjang lembah dan kawasan yang dilalui oleh sungai-sungai yang berpunca dari pergunungan Himalaya.

Yang pasti, pencairan glasier di Himalaya akan menyumbang kepada kenaikkan para laut.

Satu lagi kebimbangan saintis ialah glasier yang mencair akan membentuk tasik-tasik besar di kaki gunung Himalaya dan seandainya ia pecah atau melimpah, apakah bentuk malapetaka yang akan menimpa berjuta-juta manusia yang bermastautin di sepanjangan basin hiliran.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain