suria

Penjara Jika Enggan Jaga Ibu Bapa Di Taiwan

TAIPEI: Orang dewasa di Taiwan yang gagal menjaga kebajikan ibu bapa mereka berhadapan dengan hukuman penjara apabila kerajaan sedang mempertimbangkan undang-undang baru berkaitan, kata sumber rasmi pada Jumaat.

Undang-undang tersebut sedang digubal kerana meningkatnya kes membiarkan ibu bapa warga emas di Taiwan.

Melalui undang-undang baru tersebut, mereka yang tidak mengendahkan kebajikan ibu bapa mereka akan berhadapan hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM20,400, kata kenyataan dari pejabat seorang ahli parlimen, Lai Shyh-bao yang mengesyorkan undang-undang tersebut.

Menurut peruntukan undang-undang tersebut, pesalah juga akan diminta membayar perbelanjaan orang tua mereka dengan potongan gaji secara manatori atau membayar secara penuh atau meletakkan duit dalam tabung amanah.

Terdapat anggaran bahawa seramai 2,000 orang warga emas berusia 65 tahun dan ke atas setiap tahun dibiarkan oleh anak-anak mereka dan jumlah tersebut dilihat meningkat sebanyak 30 peratus setiap tahun, kata Lai.

"Hal ini merupakan tren yang tidak boleh dibiarkan kerana ia akan menyebabkan berlakunya lebih banyak masalah dalam masyarakat Taiwan secara berterusan," kata satu kenyataan yang dikeluarkan.

Menurut kenyataan tersebut, nilai kekeluargaan yang berubah mungkin merupakan satu punca menyebabkan orang dewasa di Taiwan tidak lagi mempunyai rasa tanggungjawab kepada ibu bapa mereka.

Rang undang-undang tersebut lulus pemerhatian awal di parlimen pada Khamis dan jika dilaksanakan, Taiwan akan turut serta bersama beberapa negara Asia lain seperti Singapura yang mewajibkan kebajikan ibu bapa warga emas dijaga. -AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain