suria

Lebih Banyak Syarikat Chile Dapat Persijilan Halal

SANTIAGO: Lebih banyak syarikat di Chile kini telah mendapatkan persijilan halal bagi membolehkan produk mereka dieksport ke negara-negara Islam termasuk Malaysia.

Ketua Setiausaha Pusat Islam Chile Mohamd Said Rumie berkata tahun ini, pusat itu telah menerima 25 permohonan baharu untuk persijilan halal, kebanyakannya dari pengeluar minyak zaitun, buah-buahan kering dan daging.

Sejumlah 54 syarikat Chile yang diperakui halal kini mengeksport buah-buahan, sayur-sayuran, produk kimia, tenusu dan daging ke Timur Tengah, kata beliau.

Beliau menggesa agar syarikat Malaysia menubuhkan perniagaan halal mereka di Chile sambil menyatakan terdapatnya peluang besar untuk makanan halal, terutamanya daging yang diproses yang tiada di dalam negara.

Pusat itu yang merupakan badan keagamaan bukan bersifat politik dan bukan mengaut keuntungan dibentuk 20 tahun lepas, bukan hanya menyediakan bimbingan kerohanian kepada 3,000 komuniti Islam negara itu tetapi juga merupakan badan persijilan halal. Ia telah diperakui sedemikian oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia pada tahun 2009.

Hasil daripada pelbagai pengaturan yang dibuat oleh Suruhanjaya Perdagangan Chile (ProChile), pusat itu, sejak 2008 telah menyediakan sijil halal untuk syarikat yang mengeksport ke Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dalam tahun 2010, ProChile dan Perkhidmatan Pertanian dan Ternakan Chile telah memperakui beberapa pusat penyembelihan lembu dan kambing, sekali gus membolehkan mereka mengeksport daging halal ke UAE dan Malaysia.

“Kami mengeksport ke orang-orang Islam di Eropah dan ada juga syarikat yang mengeksport makanan laut ke Asia Barat. Hasrat kami ialah untuk mengeksport kesemua makanan halal di Chile," tambah beliau. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain