suria

Jaffna Harap Mercy Malaysia Tambah Bantuan

JAFFNA (Sri Lanka): Pihak berkuasa kesihatan di Jaffna berharap Mercy Malaysia akan membantu membina semula lebih banyak hospital di sini apabila semakin ramai orang pelarian dan mereka yang diusir, kembali ke kampung halaman masing-masing berikutan tamatnya perang saudara di negara ini pada 2009.

Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Wilayah Jaffna Dr A.Ketheeswaran berkata, beliau telah mengemukakan kepada Mercy Malaysia senarai hospital yang perlu dibina semula kerana rosak akibat peperangan.

Pada Jumaat lepas, pertubuhan bantuan sukarela Malaysia itu menyerahkan kepada pihak berkuasa tempatan Sri Lanka sebuah hospital yang telah dibina semula di Ampan, Jaffna.

"Hospital Ampan dibina semula setelah rosak akibat dilanda tsunami pada 2004 dan perang saudara.

"Langkah Mercy Malaysia membina semula hospital sudah tentu banyak membantu dalam urusan penjagaan ibu dan kanak-kanak serta penyampaian perkhidmatan perubatan kepada penduduk Ampan dan sebahagian besar penduduk di timur Jaffna," kata Dr Ketheeswaran kepada Bernama.

Projek berharga US$259,707 (kira-kira RM817,947) itu, yang dibiayai Tabung Bencana, Kementerian Luar Malaysia, dilaksanakan Mercy Malaysia melalui rakan pelaksananya di sini yang dikenali sebagai Consortium of Humanitarian Agencies (CHA).

Majlis penyerahan hospital itu disaksikan gabenor wilayah utara Sri Lanka Mej. Jen G.A.Chandrasiri dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka Azmi Zainuddin.

Dr Ketheeswaran berkata hospital berkenaan, yang dilengkapi wad pesakit biasa dan wad bersalin, menyediakan perkhidmatan perubatan percuma kepada pesakit.

Azmi berkata penyerahan hospital itu akan merintis jalan ke arah peningkatan hubungan dua hala antara Malaysia dan Sri Lanka, khususnya dalam bidang bantuan kemanusiaan dan penjagaan kesihatan umum.

"Hospital Ampan merupakan projek pembinaan semula pertama yang dibiayai Tabung Bencana di Sri Lanka," katanya.

Ditubuhkan pada 2006, tabung itu telah menghulurkan sumbangan bernilai lebih US$2.03 juta dalam bentuk bantuan kewangan secara langsung dan melalui projek pembinaan semula untuk mereka yang terselamat daripada bencana alam di Asia.

Anggota majlis eksekutif Mercy Malaysia Dr Heng Aik Cheng berkata pertubuhan itu mengalu-alukan sumbangan daripada individu dan syarikat yang ingin membantunya menjalankan kerja bantuan kemanusiaan di zon yang dilanda konflik.

Artikel Sebelum

Polis Maut Serangan Di Papua

Artikel Berikut

Gempa Bumi Gegar Kepulauan Tonga

Artikel Lain