suria

Wanita Perancis Yang Diculik Di Kenya Dan Dilarikan Ke Somalia Akhirnya Mati

PARIS: Seorang wanita Perancis yang kurang upaya yang diculik dari rumahnya di tepi pantai di sebuah pulau peranginan Kenya dan dibawa lari ke Somalia disahkan meninggal dunia di tangan para penculiknya.

Menteri Luar Perancis, Alain Juppe mengesahkan kejadian itu tetapi menegaskan punca kematian wanita berusia 66 tahun itu masih belum diketahui.

Marie Dedieu telah dibawa lari ke Somalia sejak 1 Oktober lalu.

Kerajaan Perancis mengesyaki Marie telah dinafikan ubat-ubatan yang dikirim kepadanya oleh pihak berkuasa menerusi orang tengah.

Dalam kejadian itu, sekumpulan 10 orang bersenjatakan rifel telah menculik Marie Dedieu dari Pulau Manda yang terletak dalam gugusan Kepulauan Lamu di Kenya dan selepas itu melarikannya ke Somalia melalui jalan laut.

Marie bergerak menggunakan kerusi roda.

Pihak berkuasa Kenya berkata, mereka mengesyaki puak Shebab Somali bertanggungjawab terhadap penculikan itu.

Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan oleh kumpulan berkenaan.

Mangsa telah mendiami gugusan kepulauan Lamu sejak 15 tahun yang lalu.

Timbalan Datuk Bandar Lamu, Azhar Ali menyatakan rasa terkejutnya dengan kematian Marie kerana dia adalah seorang yang sangat popular dan dikenali oleh penduduk pulau berkenaan.

Pengendali hotel di pulau itu, Mary Jo Van Aardt, turut menyatakan rasa sedihnya apabila mendengar berita kematian Marie.

Penculikan Marie Dedieu adalah yang kedua di gugusan pulau berkenaan dalam tempoh kurang sebulan - sekaligus menjejaskan industri pelancongan Kenya selepas pelbagai negara Eropah mengeluarkan amaran perjalanan kepada rakyat mereka yang ingin bercuti ke negara Afrika yang bersempadan dengan Somalia itu.

Sebelum ini, pada 11 September, pelancong British, Judith Tebbutt, juga telah diculik di Utara Lamu dan dibawa lari ke Somalia oleh kumpulan bersenjata selepas mereka membunuh suaminya.

Dia kini dipercayai telah dijual kepada sekumpulan lanun Somalia.

Kenya kini sedang berhadapan dengan tekanan antarabangsa yang mahukan jaminan keselamatan kepada rakyat mereka yang mengembara sebagai pelancong di negara tersebut.

Kini pasukan keselamatan Kenya dilaporkan telah menyeberangi sehingga 100 kilometer ke dalam Somalia dalam usaha mereka memburu kumpulan bersenjata yang disyaki terlibat dengan penculikan di seberang sempadan Kenya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain