suria

Lee Kuan Yew – Berakhirnya Satu Era

SINGAPURA: Pucuk pimpinan Parti Tindakan Rakyat (PAP) telah menerima peletakan jawatan pengasas parti itu, Lee Kuan Yew sebagai anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sekaligus menandakan berakhirnya era politik seorang negarawan yang telah mencorak perjalanan parti yang berusia 57 tahun itu.

Jawatankuasa tersebut adalah pembuat dasar tertinggi parti berkenaan.

Peletakkan jawatan Lee Kuan Yew dan lima lagi – Menteri Kanan Goh Chok Tong, Lim Boon Heng, Wong Kan Seng, George Yeo dan Puan Lim Hwee Hua – telah diterima oleh CEC dalam pertemuan mereka pada Rabu.

Alasan peletakkan jawatan keenam-enam veteran parti itu adalah untuk memberi laluan kepada kepimpinan baru PAP mencorak masa depan parti.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang juga merupakan Setiausaha Agung PAP dan anak kepada Lee berkata walaupun peletakkan jawatan keenam-enam orang kanan mereka amat dikesali tetapi parti itu harus memandang ke hadapan dan berusaha untuk menyakinkan generasi baru bahawa mereka masih relevan dengan suasana semasa dan memerlukan sokongan rakyat untuk terus maju.

“Perubahan pada wajah CEC ini bagaimanapun akan membolehkan PAP melantik generasi muda ke dalam CEC dan membentuk satu pasukan yang lebih padu untuk membawa parti ini menempuh pilihan raya umum akan datang pada tahun 2016 nanti,” kata Hsien Loong.

Singapura baru sahaja selesai mengadakan pilihan raya umum pada 7 Mei lalu yang menyaksikan undi popular PAP berada di paras yang paling buruk dalam sejarahnya.

Pelantikan baru dijangka akan dibuat sebelum konvensyen PAP bulan depan.

Walaupun melepaskan jawatan dalam parti, Lee, Goh dan Wong masing-masing masih merupakan ahli parlimen tetapi melepaskan jawatan dalam kabinet kerajaan Singapura dua minggu selepas pilihan raya lalu.

Lim pula tidak bertanding dalam pilihan raya lalu manakala Yeo dan Puan Lim tewas di kawasan Aljunied GRC.

Perdana Menteri Lee menyifatkan keenam-enam veteran parti itu sebagai pemimpin yang tidak pernah meletakkan kepentingan diri di hadapan melainkan mencurahkan segala-galanya untuk berkhidmat untuk Singapura.

Dengan peletakkan jawatan keenam-enam veteran parti itu dari CEC, kini hanya tinggal 12 anggota sahaja dengan Lee Hsien Loong pada usia 59 tahun adalah anggota tertua dan yang termuda ialah Menteri Negara (Perdagangan dan Perindustrian) Teo Ser Luck, yang berusia 43 tahun.

Kini para pemerhati melihat antara mereka yang dijangka akan terpilih untuk menganggotai badan pembuat dasar parti itu bagi mengantikan enam yang meletakkan jawatan itu ialah Menteri Pendidikan, Heng Swee Keat dan Pemangku Menteri Pembangunan Komuniti, Belia dan Sukan, Chan Chun Sing.

Artikel Sebelum

Artikel Lain