suria

Singapura Platform Sesuai Wujudkan Perkongsian Dengan Rusia

SINGAPURA: Dengan asas ekonomi yang kukuh dan hubungan baik dengan negara-negara lain di Asia, Singapura bakal menjadi satu platform bagi negara-negara di rantau ini mewujudkan perkongsian berguna dengan Rusia.

Ketika menyatakan demikian, Menteri Perdagangan dan Industri, Lim Hng Kiang, berkata hubungan ekonomi Singapura dengan Rusia telah mengukuh tahun demi tahun.

"Jumlah perdagangan kami mencatatkan rekod dengan nilai S$5.2 bilion tahun lepas. Saya yakin hubungan ekonomi kita akan terus mengukuh, memandangkan terjahan pertumbuhan Rusia yang teguh dan kedudukan Singapura yang strategik di tengah-tengah benua Asia, katanya pada Forum Perniagaan Rusia-Singapura di sini, Isnin.

Lim berkata memandangkan hubungan teras masih antara Rusia dengan Singapura, peluang untuk yang lain juga ada.

"Saya menggalakkan rakan-rakan kita dari negara-negara lain untuk mengadakan hubungan dan perkongsian berguna dengan Rusia melalui Singapura atau dengan Singapura melalui Rusia," saran beliau.

Syarikat-syarikat Singapura semakin bergiat cergas di Rusia dan syarikat-syarikat Rusia juga telah mengadakan operasi di Singapura untuk menjalankan perniagaan di sini dan negara-negara lain di Asia.

"Gazprom dan Lukoil telah menubuhkan pangkalan Asia masing-masing di sini disebabkan oleh lokasi strategik Singapura yang terletak dalam rantau yang semakin berkembang dengan potensi ekonomi yang kukuh," tegas Lim sambil menambah bahawa republik ini menempatkan lebih 7,000 syarikat multinasional utama. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain