suria

Hospital Terima Padah Perbuatan Doktor Pedofilia

CONNECTICUT (Amerika Syarikat): Sebuah hospital didapati bersalah oleh juri kerana terlibat dalam skandal seks salah seorang doktornya sejak berpuluh tahun dahulu.

Juri membuat keputusan meminta hospital itu membayar ganti rugi sebanyak RM8 juta kepada seorang plaintif yang mendakwa dirinya mengalami trauma sejak dicabuli oleh doktor itu semasa berumur 8 tahun.

Enam orang juri mendapati Hospital dan Pusat Rawatan St. Francis gagal menjalankan tugas untuk melindungi pesakitnya daripada Dr. George Reardon yang merupakan seorang pedofilia yang dipercayai telah mencabul ratusan kanak-kanak.

Reardon meletak jawatan pada tahun 1993 ketika dituduh mencabul namun meninggal dunia pada tahun 1998 tanpa pernah didakwa di mahkamah di atas kesalahan itu.

"Kami sangat hampa dengan keputusan juri dalam kes ini," kata peguam bela hospital tersebut, Paul Williams.

Plaintif, seorang ejen insurans yang kini berusia 50 tahun, dikenali sebagai Tim Doe 1 meminta hospital membayar ganti rugi sebanyak RM14 juta kerana mengalami tekanan perasaan dan kegagalan rumah tangga yang dikatakan berpunca daripada kejadian dirinya dicabul oleh Reardon di hospital itu.

Pada Mei, Hospital St. Francis menyelesaikan kes saman dengan 32 individu lain yang mendakwa diri mereka dicabul oleh bekas ketua perubatan endokrinologi hospital itu dan sebanyak 60 kes lain yang difailkan terhadap hospital tersebut masih tertangguh.

Kes mula terbongkar pada tahun 2007 apabila pemilik rumah yang pernah didiami Reardon membuka dinding bawah tanah untuk tujuan pengubahsuaian dan menjumpai ribuan gambar bogel kanak-kanak yang diambil dalam posisi seksual.

Selain mengambil gambar, ramai mangsa mendakwa Reardon menyentuh mereka dengan cara yang tidak sepatutnya malah kebanyakan kejadian tersebut berlaku di pejabat Reardon dekat Hospital St. Francis.

Pihak hospital mengutuk kegiatan Reardon itu namun menafikan sebarang tanggungjawab di atas perkara tersebut dan sedang mengatur langkah dalam perbicaraan yang akan datang. -AP

Artikel Lain