suria

PM NZ: Wanita Bertudung Atau Purdah Tak Harus Jadi Mangsa Diskriminasi

WELLINGTON: Perdana Menteri New Zealand, John Key pada Selasa menegaskan, wanita Muslim yang memakai tudung atau hijab tidak seharusnya menjadi mangsa diskriminasi, selepas dua wanita dari Arab Saudi diminta turun dari bas kerana cara mereka berpakaian.

Para diplomat Arab Saudi di New Zealand telah menyatakan rasa tidak puas hati mereka dengan insiden tersebut ekoran kejadian itu yang berlaku di Auckland itu.

Kejadian itu telah mendapat liputan meluas dalam media massa negara berkenaan.

Dalam satu kes yang berasingan pula, seorang pelajar perempuan Arab telah diherdik oleh pemandu bas dan tidak membenarkan dia menaiki bas berkenaan sehingga menyebabkan dia menangis di tepi jalan.

Kata Key; "Saya tidak ada masalah dengan perempuan Muslim yang memakai tudung atau hijab...ia tidak sama sekali menyinggung perasaan saya. Ini kerana ia adalah sebahagian daripada hak mereka untuk memakai apa yang mereka percaya..."

Malah perdana menteri itu menyifatkan negaranya sebagai salah sebuah negara yang paling bertolak ansur di dunia sambil menegaskan bahawa beliau tidak nampak sebarang sebab untuk mengharamkan wanita memakai tudung atau hijab di tempat awam sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Perancis.

"Pada pandangan saya, selagi ianya praktikal dan tidak menyusahkan mana-mana pihak, kita semua patut ada rasa hormat ke atas budaya dan kepercayaan orang lain," kata Key kepada para pemberita.

Pada April, Perancis menjadi negara pertama di Eropah yang menggenakan larangan berpurdah di kalangan umat Islam.

Sementara itu, pengendali bas awam terbesar New Zealand, NZ Bus, yang mana dua pemandunya terlibat dalam insiden tersebut telah mengeluarkan kenyataan menyatakan kedua-dua pemandu berkenaan telah dihantar untuk menjalani program kaunseling.

"Kedua-dua pemandu itu berkata mereka bertindak demikian bukan didorong oleh kebencian agama atau budaya tetapi kerana berasa fobia dengan situasi di mana orang menutup keseluruhan muka mereka," kata Pengurus Besar NZ Bus, Jon Calder kepada sebuah akhbar New Zealand, the Dominion Post.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain