suria

Stesen Angkasa ISS Disahkan Terselamat Daripada Rempuhan Sampah Angkasa - NASA

WASHINGTON: Sekeping sampah angkasa hampir-hampir merempuh Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada malam Selasa dalam satu kejadian yang jarang-jarang berlaku dan memaksa enam orang anak kapalnya melakukan operasi pemindahan kecemasan ke dalam kapal angkasa Soyuz.

Pentadbir stesen berkenaan yang dikongsi oleh 16 buah negara yang mempunyai misi ke angkasa lepas sememangnya menempatkan sebuah kapal angkasa Soyuz di situ untuk digunakan sewaktu kecemasan.

Objek berkenaan yang bergerak laju hanya tersasar 335 meter dari stesen tersebut.

Anak kapal stesen angkasa itu hanya sempat melakukan operasi menyelamatkan diri 18 minit sebelum kejadian itu berlaku.

"Ia adalah objek yang paling hampir pernah melintasi ISS sejak stesen berkenaan dibina di angkasa lepas," kata jurucakap NASA, Bill Gerstenmaier.

Mereka di ISS atau kami di NASA tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai sampah sarap angkasa yang akan melintasi kawasan di mana ISS berada sehinggalah ia benar-benar menghampirinya," kata Gerstenmaier lagi.

Saiz sampah angkasa itu tidak didedahkan kepada pihak media.

Enam krew berkenaan telah menghabiskan masa selama satu setengah jam di dalam kapsul kecemasan Soyuz menanti dengan penuh debar sama ada mereka akan terselamat daripada ancaman sampah angkasa tersebut.

Adalah dianggarkan berjuta-juta sampah seperti besi, skru, plastik dan juga kaca yang terhasil daripada 4,600 pelancaran roket dan pelbagai satelit terapung di angkasa dan mengelilingi bumi sejak 54 tahun yang lalu apabila manusia mula menerokai angkasa lepas.

Daripada jumlah itu, NASA telah mengesan 16,000 objek atau sampah angkasa yang bersaiz 10cm atau empat inci masih berterbangan mengelilingi bumi hasil peninggalan kapal angkasa dan pelbagai lagi objek yang pernah dihantar ke angkasa lepas.

Risiko pelanggaran adalah kecil tetapi jika ia berlaku akan melibatkan kos kerugian berjuta-juta dolar dalam bentuk alat ganti dan juga proses membaiki.

Stesen angkasa ISS tidak pernah lagi dirempuh oleh mana-mana objek besar yang berterbangan atau sampah angkasa sepanjang prosesnya mengelilingi bumi pada ketinggian 350 kilometer dari paras bumi.

"Orbit yang digunakan oleh ISS untuk mengelilingi bumi sudah dipastikan bersih daripada sebarang laluan peninggalan objek angkasa," kata editor sebuah majalah angkasa lepas Rusia, Moscow's Space News, Igor Marinin kepada AFP.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain