suria

Kerajaan New Zealand Tawar Beli 5,000 Kediaman Yang Musnah Kerana Gempa Bumi

WELLINGTON: Kerajaan New Zealand pada Khamis telah membuat tawaran untuk membeli lebih 5,000 buah kediaman di bandar Christchurch yang rosak akibat gempa bumi Februari lalu dan juga pada awal bulan ini.

Perdana Menteri John Key ketika mengumumkan demikian menjelaskan sejumlah NZ$635 juta telah diperuntukkan untuk tujuan tersebut.

"Ini adalah langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk menjamin masa depan penduduk Christchurch yang bimbang ekoran beberapa siri gempa bumi yang telah melanda bandar mereka dan juga memusnahkan kediaman mereka," kata Key.

Menurut Key, pakar-pakar geologi telah membahagikan Christchurch kepada empat zon iaitu - merah, jingga, hijau dan putih.

Dalam tempoh sembilan bulan yang terakhir ini bandar tersebut telah dilanda oleh tiga gempa bumi yang berskala besar termasuk pada Februari lalu yang telah mengorbankan 181 nyawa.

Katanya, kerajaan telah memutuskan untuk membina semula 5,000 kediaman di kawasan yang diklasifikasikan sebagai zon merah sebagai tidak selamat dan para penduduk akan menerima surat tawaran daripada kerajaan untuk membeli hartanah mereka dalam tempoh lapan minggu dari sekarang.

Jumlah ini katanya belum lagi termasuk pemilik 10,000 kediaman yang terletak dalam zon jingga yang belum diputuskan oleh kerajaan.

"Malangnya, kerajaan masih belum berada dalam kedudukan untuk memutuskan apa yang perlu dilakukan dengan mereka yang berada dalam zon ini," ujarnya.

Kediaman yang berada dalam lingkungan zon merah diklasifikasikan sebagai tidak boleh didiami lagi atas sebab-sebab keselamatan khususnya tanah di mana kediaman tersebut dibina dianggap terdedah kepada kejadian jerlus.

Key menjelaskan, bajet untuk tujuan menawarkan pembelian kediaman yang musnah itu diambil dari dana bencana yang berjumlah NZ$5.5 bilion. Dana tersebut dibentuk oleh kerajaan.

Christchurch telah dilanda gempa bumi dengan magnitut 7.0 pada skala richter pada bulan September tahun lalu kemudian diikuti dengan satu lagi gegaran kuat pada 22 Februari tahun ini dan yang terbaru pada 13 Jun dengan magnitut 6.0.

Key berkata, kerajaan menganggarkan kos keseluruhan yang diperlukan untuk membina semula Christchurch, iaitu bandar kedua terbesar di New Zealand ialah NZ$25 bilion.

Artikel Lain