suria

Giliran Parti Kerajaan Berhimpun Di Ratchaprasong

BANGKOK: Kebiasaannya Ratchaprasong, di sini menjadi pusat bagi kumpulan Baju Merah mengadakan tunjuk perasaan di jalanan terhadap kerajaan tetapi kali ini, parti pemerintah Demokrat, akan mengadakan perhimpunan besar-besaran di situ Khamis ini.

Tindakan Demokrat, menjelang pilihan raya itu, telah mengejutkan ramai pihak termasuk pemimpin kumpulan Baju Merah itu sendiri.

Beberapa pemimpin kumpulan Baju Merah berkata Demokrat perlu membatalkannya kerana ia mungkin membangkitkan kemarahan penyokong Baju Merah selain ia mungkin dilihat sebagai satu tindakan yang menghina mereka yang terbunuh dalam kekacauan pada April-Mei tahun lepas.

Seramai 92 orang terbunuh manakala lebih daripada 1,800 yang lain cedera apabila para penunjuk perasaan bertempur dengan tentera semasa kekacauan itu.

Kumpulan Baju Merah Red Shirts telah berkhemah di persimpangan Ratchaprasong selama lebih daripada sebulan sebelum tentera dikerah menyuraikan mereka pada 19 Mei tahun lepas.

Kawasan itu bertukar menjadi medan pertempuran maut dengan penggunaan kenderaan berperisai, rifel tempur, pelancar roket, bom dan penembak hendap semasa pertempuran itu.

Berpuluh bangunan di kawasan dan di seluruh bandar raya dibakar pada hari itu.

Ratchaprasong, yang terletak di pusat bandar raya, menempatkan kompleks beli belah mewah, pejabat-pejabat utama dan hotel-hotel lima bintang.

Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva yang juga pemimpin Demokrat berkata partinya akan meneruskan dengan rancangan itu kerana setiap orang mempunyai hak untuk menggunakan kawasan itu kerana ia bukan dimiliki oleh mana-mana kumpulan tertentu.

Kerajaan dan kumpulan Baju Merah, rakan sekutu parti pembangkang Phue Thai yang diketuai pemimpin de facto yang juga bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra, saling tuduh menuduh antara satu sama lain atas pembunuhan 92 orang dan kejadian pembakaran di bandar raya itu. Abhisit berkata Demokrat akan mengadakan perhimpunan secara aman bagi memberikan maklumat kepada kerajaan mengenai insiden itu.

Timbalan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai keselamatan Suthep Thaugsuban berkata Demokrat tidak akan mengadakan sekatan jalan atau membina pentas di tengah-tengah jalan tetapi akan mendirikan pentas kecil di hadapan sebuah pusat beli belah di sana.

Pemimpin kumpulan Baju Merah Thida Thavornset telah mengingatkan para penyokongnya supaya menjauhi kawasan itu dalam usaha mengelakkan konfrontasi.

Bangkok pernah menjadi kubu kuat Demokrat tetapi kebanyakan tinjauan pendapat menunjukkan bahawa Pheu Thai telah mengambil alih kedudukan parti itu di ibu negara terutama dari segi populariti.

Perhimpunan Khamis lepas dilihat sebagai percubaan Demokrat untuk mengingatkan penduduk bandar raya itu yang mungkin telah melupakan insiden itu. Semasa kempen pilihan raya, ramai pemimpin Demokrat termasuk Suthep telah mengingatkan para pengundi supaya tidak membiarkan mereka yang mendakwa membakar bandar raya itu masuk ke Parlimen kerana sesetengah pemimpin kumpulan Baju Merah bertanding di bawah tiket Pheu Thai dalam pilihan raya ini.

Bangkok merupakan penanda aras politik yang utama kepada kedua-dua parti kerana seperti yang pernah disebut Abhisit sebelum ini bahawa mana-mana parti yang menang di ibu negara mungkin dapat menawan Thailand.

Demokrat telah memperhebatkan pendekatan mereka sejak kebelakangan ini memandangkan hanya tinggal 12 hari sahaja lagi untuk para pengundi membuat keputusan pada 3 Julai ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

9 Maut Dalam Serangan NATO

Artikel Lain