suria

25 Peratus Banduan Di Australia Adalah Masyarakat Asli

SYDNEY: Situasi sosial masyarakat asli Australia atau lebih dikenali sebagai “Aborigines” kini berada dalam keadaan yang sangat menyedihkan, demikian menurut satu laporan yang disediakan oleh sebuah agensi Kerajaan Australia baru-baru ini.

Apa yang lebih menyedihkan ialah walaupun jumlah masyarakat asli negara itu kini cuma 2.5 peratus daripada keseluruhan penduduk Australia tetapi jumlah mereka yang dipenjarakan kerana terlibat dalam pelbagai jenayah dan kesalahan ialah satu pertiga (25%) daripada jumlah banduan negara itu sekarang.

Laporan itu menyebut situasi tersebut sebagai satu tragedi nasional untuk Australia.

Laporan yang disediakan oleh sebuah jawatankuasa kerajaan mengenai hal ehwal masyarakat asli itu mengenalpasti keadaan sosio dan ekonomi yang tidak menguntungkan masyarakat asli menjadi punca kepada krisis yang sedang melanda generasi sekarang yang menjurus kepada penglibatan dalam jenayah.

Jawatankuasa itu juga turut melaporkan bahawa generasi muda masyarakat asli Australia adalah 28 kali lebih terdedah kepada jenayah dan berkemungkinan besar akan berakhir dipenjarakan berbanding dengan generasi yang sebaya dengan mereka dari kalangan bukan orang asli.

Malah kini, 59 peratus daripada jumlah pesalah juvana yang dipenjarakan adalah dari kalangan masyarakat asli.

"Satu tindakan perlu dilakukan mengapakah situasi sosial dan ekonomi masyarakat asli semakin teruk selepas pelbagai pembaharuan diperkenalkan hasil daripada syor-syor yang dikemukakan oleh sebuah suruhanjaya diraja tidak lama dahulu,” soal jawatankuasa tersebut dalam laporan mereka.

Jumlah lelaki masyarakat asli yang dipenjarakan telah melonjak sehingga 55 peratus sejak 10 tahun lalu manakala jumlah wanitanya pula telah meningkat 47 peratus dan angka-angka ini sangatlah membimbangkan kerana ia mencerminkan keruntuhan institusi keluarga dan rumah tangga dalam masyarakat itu sendiri.

Kadar pemenjaraan pula meningkat kepada 66 peratus sejak tahun 2000 atau bersamaan dengan 1,891 untuk setiap 100,000 orang asli Australia kini berada di belakang penjara.

Ramai pemuda masyarakat asli kini terdedah kepada keganasan domestik, penyalahgunaan alkohol, dadah, sistem perumahan yang tidak sempurna, ketidakperihatinan ke atas kesihatan dan kepentingan pelajaran dan kekurangan skil serta peluang.

"Situasi ini telah sampai ke tahap yang memalukan kerajaan dan negara ini," kata laporan itu lagi.

Masyarakat asli Australia dianggarkan berjumlah satu juta orang sewaktu kedatangan masyarakat kulit putih di benua itu tetapi kini hanya berjumlah 470,000 orang dalam sebuah negara yang berjumlah 22 juta orang penduduk.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

9 Maut Dalam Serangan NATO

Artikel Lain