suria

Rusia Pamer Peluru Berpandu Pada Sambutan Tahunan

MOSCOW: Rusia mengadakan perarakan pada Isnin di Red Square yang disertai 20,000 orang tentera dan mempamerkan peluru berpandu tercanggih, bersempena sambutan kejayaan negara ini dalam Perang Dunia Kedua dan dalam memperingati kekuatan era Soviet di negara ini.

Bagaimanapun, kemeriahan sambutan upacara tahunan tersebut diselubungi oleh persoalan tentang rasional upacara yang menelan belanja yang besar ini dan kerisauan tentang laporan perancangan serangan yang didalangi militan Islam.

Upacara yang diiringi okestra itu disaksikan Presiden Rusia, Dmitry Medvedev dan Perdana Menteri Vladimir Putin dari satu podium yang didirikan di hadapan banggunan Lenin.

"Semakin masa berlalu, semakin dalam pemahaman kita tentang pengorbanan wira tentera kita - keberanian, kemahuan dan pengorbanan diri mereka," kata Medvedev dalam ucapannya.

"Anda yang menentukan nasib Perang Dunia Kedua dan hari ini kami berterima kasih di atas kebebasan ini," katanya kepada sekumpulan veteran perang yang hadir.

Sambutan kemenangan menentang Nazi Jerman yang ke-66 itu dimulakan dengan penerbangan jet pejuang di ruang udara Moscow dan diteruskan dengan pameran peluru berpandu canggih terbaru yang menjadi kebanggaan pasukan pertahanan nuklear Rusia.

Kremlin meneruskan sambutan tradisional ini walaupun dilanda kebimbangan mengenai krisis ekonomi dan menimbulkan persoalan tentang asional sambutan yang menelan belanja yang tinggi itu.

"Ada sesetengah pihak menganggap pertunjukan peralatan tentera seperti ini sebagai pembaziran tetapi dengan menonton perarakan ini, rakyat akan nampak kemampuan dan kekuatan tentera kita dalam misi pertempuran yang sebenar," jelas Medvedev.

Medvedev mengalami masalah di dalam mendapat kepercayaan di kalangan puak nasionalis dan perkara ini mungkin berlanjutan sehingga pilihan raya presiden yang bakal diadakan tahun hadapan.-AFP

Artikel Sebelum

Artikel Lain