suria

Kid Rock Terima Anugerah NAACP

DETROIT- Pemenang Anugerah Grammy, Kid Rock memberitahu hampir 10,000 penonton pada majlis makan malam kutipan amal Detroit NAACP bahawa penggunaan bendera gabungan pada persembahan pentasnya tidak mempunyai kaitan dengan pandangannya terhadap masyarakat kulit hitam.

“Saya sayangkan Amerika. Saya sayangkan Detroit dan saya sayangkan orang berkulit hitam,” kata pemuzik tersebut pada Majlis Amal Perjuangan Ke Arah Kebebasan di Pusat Cobo, di sini.

Kid Rock atau nama sebenarnya Robert Richie menggunakan majlis tersebut untuk meredakan kritikan yang dibuatnya terhadap NAACP bahagian Detroit, yang memberi penghormatan terhadap dia menerusi Anugerah Harapan.

Kira-kira 60 orang menyertai piket yang di luar Pusayt Cobo sebagai tanda membantah pemberian anugerah tersebut kepada Kid Rock.

Mereka turut membakar replika bendera gabungan, yang dianggap sebagai simbol perkauman dan penindasan kepada masyarakat kulit hitam di Selatan.

Bagaimanapun, Presiden NAACP, Wendell Anthony berkata, Kid Rock dianugerahkan kerana sokongannya kepada bandar tersebut.

“Kita tidak meninggikan bendera gabungan, kita menghormati seorang lelaki budiman yang telah berkerja keras dalam memberikan rangsangan terhadap Detroit,” katanya.

Sejak penganugerahan itu dihebahkan, pemilihan Kid Rock mendapat kritikan dari sesetengah masyarakat yang berpendapat penggunaan bendera gabungan bertentangan dengan mesej yang dibawa oleh NAACP.

“Ia membawa maksud kebencian, fanatik, perkauman dan pembunuhan,” kata perunding politik, Adolph Mongo.

“Setiap individu yang fanatik dan mengamalkan dasar perkauman di negara ini menyokong bendera itu,” katanya.

Mongo turut menyertai dalam upacara membakar bendera itu, yang memerlukan beberapa percubaan sebelum ia terbakar.

Bagaimanapun, Kid Rock yang hadir di majlis itu dengan anaknya menerima tepukan gemuruh apabila diumumkan sebagai penerima anugerah.

Dia juga mengumumkan sumbangan USD50,000 (RM 14,8292) dari yayasannya kepada pusat-pusat rekreasi Detroit, pusat penyelenggaraan di bandar Belle Isle dan kumpulan teater remaja serta pusat latihan remaja.

Dia juga memberitahu, yayasannya akan menyumbangkan USD50,000 kepada usaha menyelamat negara-negara yang dilanda ribut tornado.

“Kita sangat bertuah kerana tidak menerima bencana alam seperti kawan-kawan di Selatan,” katanya. -AP

Artikel Berikut

Artikel Lain