Des Alwi Terima Anugerah Khas Iswami - Dunia | mStar

Des Alwi Terima Anugerah Khas Iswami

BANDUNG: Allahyarham Des Alwi Abubakar, salah seorang tokoh yang berjasa dalam menjalin kembali hubungan baik Malaysia dan Indonesia semasa era konfrontasi, dipilih penerima Anugerah Khas Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI).

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Anak Indonesia, Linda Agum Gumelar pada Malam Anugerah Kasih ISWAMI di Hotel Hyatt Regency Bandung, malam Jumaat.

Semasa era konfrontasi Indonesia-Malaysia 1965-1975, Des Alwi merupakan wakil diplomatik yang terlibat dalam operasi pasukan khas bagi mencari penyelesaian kepada konfrontasi itu.

Pada masa itu, beliau menjadi perantara 'sulit' dan dengan kepintaran diplomasinya berhubung dengan Perdana Menteri Malaysia yang pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu Tun Abdul Razak Hussein, konfrontasi akhirnya berjaya diredakan.

Anugerah itu diterima oleh Ketua ISWAMI Indonesia, yang juga Ketua Pengarang Agensi Berita Indonesia, Antara, Saiful Hadi Chalid, bagi pihak keluarga Des Alwi.

Pada acara itu juga, artis popular dan usahawan berjaya Malaysia Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dipilih sebagai penerima Anugerah Wanita Inspirasi manakala Universiti Padjadjaran Bandung (Unpad) dan Institut Teknologi Bandung (ITB) dipilih sebagai penerima Anugerah Jasa Bidang Pendidikan.

Malam Anugerah Kasih itu diadakan sempena Maybank Seminar Ekonomi Malaysia Indonesia (SEMI 10) yang disertai para usahawan wanita dari kedua-dua negara, di tempat sama pada sebelah siang.

Semasa berucap pada acara jamuan malam itu, Menteri Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Anak Indonesia itu menghargai inisiatif ISWAMI menganjurkan seminar ekonomi itu.

"Ini merupakan bukti persahabatan dan persaudaraan bangsa serumpun, Indonesia Malaysia, yang sudah sepantasnya tetap kita bina bersama bagi kedua negara dan di kawasan Asean," katanya.

Kesefahaman yang digagas ISWAMI merupakan alternatif dan inovasi untuk usahawan kedua-dua negara bekerjasama sebagai upaya bertahan menghadapi persaingan, sekali gus meningkatkan daya saing dalam bidang perniagaan masing-masing.

"Inisiatif ISWAMI untuk memasukan kelompok usahawan, salah satunya keterlibatan perempuan beserta bukti apresiasinya, akan memberi peluang kepada mereka untuk membuka jejaring kerja dan persefahaman antara rakyat kedua-dua negara," kata Linda. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Artikel Lain