suria

Empat Tentera Terbunuh, Enam Cedera Dalam Serangan Di Selatan Thailand

BANGKOK: Empat anggota tentera terbunuh manakala enam yang lain cedera apabila sekumpulan militan bersenjata menyerang dan melarikan sejumlah senjata api di Kem Pasukan Petugas Tentera di daerah Rangae di Narathiwat, malam tadi.

Ketua Angkatan Tentera Wilayah Keempat Leftenan Jeneral Udomchai Thammasarorath berkata mereka yang terbunuh dikenali sebagai Kapten Krit Kampheerayan, Sarjan Tewalak Tema, Koperal Abdulloh Kayee dan Prebet Pravit Chuklin.

Kesemua enam yang cedera dirawat di Hospital Ratchanakarin Narathiwat dengan tiga daripadanya parah, katanya.

Beliau berkata serangan militan di kem tentera itu berlaku pada kira-kira pukul 8 malam ketika pasukan itu sedang menikmati makan malam.

"Kami masih memeriksa jumlah sebenar senjata api yang hilang dalam kejadian itu," katanya.

Leftenan Jeneral Udomchai mengesyaki anggota militan terbabit dari daerah Mayoh di Pattani dan berkata gerakan ketenteraan dijalankan untuk memburu suspek serta mendapatkan semula senjata api yang dilarikan itu.

Sementara itu, media tempatan melaporkan penempatan semula pasukan itu perlu dibuat melalui udara kerana kumpulan militan telah menyekat jalan ke kem berkenaan dengan menumbangkan pokok dan menabur paku semasa serangan berlaku.

Kira-kira 4,000 orang terbunuh sejak kumpulan yang disyaki pemisah menjalankan semula gerakan bersenjata bagi menuntut kemerdekaan untuk tiga wilayah -- Narathiwat, Patani dan Yala -- tujuh tahun lepas.

Kem Pasukan Petugas Tentera itu terletak kira-kira satu kilometer dari batalion tentera yang diserang pada 4 Januari 2004 oleh kira-kira 30 pengganas yang menyebabkan empat anggota tentera terbunuh dan melarikan kira-kira 400 senjata api termasuk M-16, dan pistol.

Menurut pangkalan data polis, berikutan berlakunya pemberontakan semula di selatan pada 2005, kini terdapat 2,000 militan, 5,000 penyokong tempatan, 300 pemimpin strategik dan 300 pemimpin psikologi.

Pada Selasa, kerajaan melanjutkan perintah darurat di tiga wilayah itu untuk tempoh tiga bulan lagi. - BERNAMA

Artikel Lain