Perancis Rancang Pelbagaikan Pelaburan Di Malaysia - Dunia | mStar

Perancis Rancang Pelbagaikan Pelaburan Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Perancis merancang mempelbagaikan lagi pelaburannya di Malaysia, termasuk perkhidmatan dan pembangunan produk halal, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata kerajaan Perancis juga mahu mendapatkan kerjasama Malaysia dalam urusan membabitkan pensijilan Halal.

Ini katanya bagi membolehkan produk halal negara itu memasuki pasaran Malaysia

"Beberapa syarikat Perancis memiliki pensijilan halal masing-masing. Isunya sekarang ialah menyelaraskan standard pensijilan seperti yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia.

"Bagi mempromosikan produk pertanian dan halal Perancis ke Malaysia, isu itu perlu diselesaikan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat dua hala dengan Menteri Perdagangan Luar Perancis, Anne-Marie Idrac di sini hari ini.

Mustapa juga berkata Glon Grope, syarikat yang berpangkalan di Perancis, merancang melaksanakan projek penternakan bersepadu di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Beliau berkata projek itu akan membabitkan pelaburan RM60 juta pada peringkat awal.

"Eropah mempunyai bilangan penduduk Islam yang ramai. Kami berharap menerusi penerokaan Glon Grope di Malaysia, ia akan membantu produk tempatan memasuki pasaran Eropah," katanya.

Sementara itu, Idrac berkata 250 syarikat Perancis beroprasi di Malaysia pada masa ini.

"Lawatan itu adalah susulan kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Perancis tahun lepas. Kami gembira terhadap angka dagangan dan mahu menambah dan mempelbagaikannya ke dalam sektor lain," katanya.

Sehingga 2009, syarikat-syarikat Perancis melabur sejumlah US$0.5 bilion dalam 83 projek pekilangan di Malaysia.

Pada 2009, Perancis merupakan rakan dagang keempat terbesar di Malaysia dalam kalangan 27 negara Kesatuan Eropah.

Ia menyumbang 11.3 peratus daripada US$31.4 bilion dagangan Malaysia dengan kesatuan itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Gempa Bumi Sederhana Di Selatan Maluku

Artikel Berkaitan

Artikel Lain