suria

Tabung Haji Tanggung Jemaah Terpaksa Tinggal Lama

MEKAH: Tabung Haji akan membiayai perbelanjaan jemaah haji yang terpaksa tinggal lebih lama di tanah suci ekoran masalah penjadualan semula penerbangan yang membawa mereka pulang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom berkata ini ekoran arahan pihak berkuasa Arab Saudi yang cuma membenarkan empat penerbangan sehari untuk membawa pulang jemah haji ke tanah air iaitu dua Penerbangan Malaysia dan dua Saudi Airlines untuk mengelakkan kesesakan di lapangan terbang.

"Ekoran itu ada antara jemaah haji yang terpaksa dijadualkan semula penerbangan pulang dan perlu tinggal lebih lama di tanah suci," katanya kepada petugas media Tabung Haji di sini pada Jumaat.

Sehubungan itu, katanya Tabung Haji akan membiayai kos tambahan setiap jemaah yang terpaksa menangguhkan perjalanan pulang terutama dari segi penginapan serta makan minum.

Jamil Khir berkata penjadualan semula penerbangan pulang mendapat reaksi yang positif daripada kalangan jemaah yang terbabit.

"Mereka menyatakan rasa gembira kerana dapat tinggal lebih lama di tanah suci tetapi bimbang bayaran yang mereka buat kepada Tabung Haji cuma untuk tempoh 40 hari.

"Saya telah meyakinkan mereka bahawa Tabung Haji akan menanggung segala perbelanjaan penginapan serta makan minum sepanjang tempoh tambahan mereka berada di tanah suci," katanya.

Menurut jadual asal, penerbangan pertama yang membawa pulang jemaah haji di jangka pada 3 Disember manakala yang terakhir pula pada 2 Januari tahun depan.

Mengenai wukuf yang berakhir semalam, Jamil Khir menyatakan rasa gembira kerana jemaah haji Malaysia menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah masing-masing sungguhpun keadaan khemah penginapan mereka agak basah dan kurang selesa ekoran hujan lebat pada petang Rabu.

Beliau berkata ratarata jemaah haji Malaysia yang beliau temui menyatakan rasa syukur kerana kedatangan mereka ke Arafah disambut dengan hujan dan menganggapnya sebagai hujan rahmat kerana hujan jarang sekali turun di tanah suci Mekah apatah lagi di Arafah.

Jemaah haji Malaysia kini berada di Mina untuk melontar Jamrah sebelum kembali semula ke Mekah untuk mengerjakan Tawaf dan Sae haji. BERNAMA

Artikel Lain