suria

Malaysia D8 anjur aktiviti yang relevan

KUALA LUMPUR: Kumpulan Lapan Negara Membangun Islam (D8) perlu mengadakan aktiviti relevan dan terhad bagi memastikan program yang dianjurkan itu mendapat sokongan dari negara anggota, kata Pesuruhjaya D8 Malaysia, Zainol Abidin Omar, hari ini.

Katanya kumpulan itu perlu merangka lapan hingga 10 program setahun yang relevan dan mempunyai kepentingan kepada anggota negara D8 iaitu Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Nigeria, Pakistan, Turki dan Malaysia.

"Tambahan pula, prgram yang dianjurkan oleh D8 juga harus menghasilkan projek yang mantap dan boleh dilaksanakan serta membawa manfaat kepada masyarakat dan negara," katanya pada ucapan alu-aluan pada sesi ke-27 Mesyuarat Pesuruhjaya D8 di sini hari ini.

Mesyuarat dua hari itu diadakan menjelang sesi ke-12 Mesyuarat MenteriMenteri D8, Isnin ini. Antara yang mengesahkan kehadiran ialah Menteri Luar Pakistan Shah Mahmood Qureshi.

Zainol Abidin berkata Malaysia percaya bilangan aktiviti tidak semestinya mencerminkan kemajuan sesebuah pertubuhan.

Kumpulan D8 ditubuhkan pada 15 Jun 1997 di Istanbul, Turki dengan matlamat membuka ruang kerjasama dalam sektor ekonomi menerusi perkongsian kepakaran bagi meningkatkan kedudukan negara anggota dalam pasaran ekonomi global.

Kumpulan itu mempunyai jumlah penduduk seramai kira-kira 900 juta orang.

Zainol Abidin berkata walaupun kumpulan itu telah mengadakan pelbagai aktiviti sejak beberapa tahun lepas namum masih banyak usaha perlu dilakukan.

Katanya komitmen negara anggota D8 serta kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta dalam semua projek yang dikenal pasti merupakan kunci kepada kejayaan sesuatu aktiviti tersebut.

"Oleh itu adalah kritikal bahawa kita terus menganjurkan aktiviti khusus yang boleh membawa manfaat yang nyata kepada sektor swasta," katanya.

Katanya Malaysia juga percaya kerajaan negara-negara D8 mempunyai peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang mudah bagi meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam aktiviti D8.

Dalam hal itu, negara anggota D8 harus meneruskan usaha mengasaskan infrastruktur yang sesuai yang diperlukan bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi, katanya.

Menurutnya ini boleh dilaksanakan dengan meningkatkan kemudahan infrastruktur dan modal insan menerusi rakan perkongsian antara sektor awam dan swasta.

Zainol Abidin berkata terdapat keperluan untuk mengkaji semula program yang dianjurkan oleh D8 sejak sedekad lepas di bawah pelbagai kumpulan kerja bagi melihat sejauh mana kumpulan itu dapat menambah nilai dengan mengubah projek yang dapat membawa kepentingan bersama serta boleh dilaksanakan oleh sektor swasta.

"Biar kita adakan lebih banyak kerjasama dengan pihak swasta menerusi usahasama atau penyertaan ekuiti dalam program dan projek anjuran D8," kata Zainol Abidin.

Beliau juga berharap semua negara anggota D8 dapat mengemaskinikan sumbangan masing-masing kepada sekretariat bagi meneruskan urusan kumpulan itu.

Pada mesyuarat itu, suruhanjaya tersebut, iaitu badan eksekutif D8, di jangka membincangkan isu seperti Perjanjian Keutamaan Perdagangan dan perjanjian D8 yang lain serta cara meningkatkan kerjasama dalam sektor perdagangan, pelancongan, pertanian dan kewangan. BERNAMA

Artikel Lain