Ban Ki- Moon minta Malaysia main peranan di Myanmar - Dunia | mStar

Ban Ki- Moon minta Malaysia main peranan di Myanmar

SHARM EL-SHEIKH (Mesir): Malaysia dan rakan-rakan anggota dalam Asean diminta menggunakan pengaruh mereka bagi membantu menyelesaikan kemelut dalaman di Myanmar agar ia kembali kepada amalan demokrasi sebenar.

Gesaan itu dibuat oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di luar Sidang Kemuncak ke-15 Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di bandar peranginan Mesir ini.

Najib berkata Ban berpendapat sudah ada perkembangan positif di Myanmar di mana pemerintah Myanmar kelihatan menerima proses pendemokrasian.

"Tetapi Ban juga masih ragu-ragu terhadap tindakan susulan pemerintah Myanmar sama ada ia akan benar-benar membawa negara tersebut melangkah ke hadapan menjadi sebuah negara demokrasi," kata Najib kepada wartawan Malaysia di sini.

Ban baru-baru ini melawat Myanmar tetapi gagal mendapatkan sebarang kepastian daripada pemimpin tertinggi Myanmar berhubung pembebasan pemimpin pro-demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi yang ditahan bersama tahanan-tahanan politk lain.

Selain Ban, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Presiden Filipina Gloria Macapagal Arroyo, Perdana Menteri India Manmohan Singh dan pemimpin Korea Utara Kim Yong Nam.

Mengenai pertemuan dengan Manmohan Singh, Najib berkata Perdana Menteri India itu mempelawa syarikat Malaysia terlibat dalam program membina jalan raya sepanjang 7,500 kilometer di negara itu memandangkan prestasi cemerlang mereka pada masa lepas.

Katanya Manmohan menyatakan kesediaan untuk melawat Malaysia mungkin tahun depan, dan berharap Najib juga membuat lawatan balas.

Mengenai pertemuan dengan Arroyo, Najib berkata Malaysia menyuarakan kesediaan untuk memainkan peranan lebih aktif dalam membantu mencari penyelesaian ke arah proses damai di selatan Filipina.

Katanya langkah pertama yang harus dilakukan ialah menghentikan persengketaan di kawasan tersebut dan seterusnya memulakan rundingan.

Najib seterusnya dijadualkan bertemu Presiden Mesir Hosni Mubarak dan beberapa ketua kerajaan NAM pada hari terakhir sidang kemuncak itu hari ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain