suria

Hilang kaki angkara pemburu haram? Nasib pilu harimau kudung jadi perhatian

Foto haiwan itu dirakam menerusi kamera perangkap yang dikendalikan dari jarak jauh. Foto: Freeland/IUCN via AP.

RENJER hutan di barat Thailand sedang berusaha untuk menyelamatkan seekor harimau liar yang kudung sebelah kakinya.

Haiwan itu dikesan di Taman Negara Khao Laem, wilayah Kanchanaburi ketika ia sedang membaham seekor kerbau.

Kakitangan dari organisasi perlindungan hidupan liar Freeland melihat haiwan itu menerusi kamera perangkap yang dikendalikan dari jarak jauh.

Kaki belakangnya yang hilang jelas kelihatan ketika ia mundar-mandir di sekeliling bangkai kerbau pada malam Ahad lalu.

Pasukan penyelamat itu berkata, pihak mereka risau sekiranya haiwan berkenaan menjadi sasaran pemburu haram yang aktif di kawasan hutan tersebut.

Malah, mereka juga risau sekiranya harimau itu mati kelaparan tidak lama lagi setelah ia hilang keupayaan memburu secara normal akibat kecacatan berkenaan.

Freeland yang bekerjasama dengan kakitangan dari Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan Thailand berharap dapat menangkap harimau itu dengan anak panah penenang dan memindahkannya ke kemudahan kerajaan agar ia boleh disediakan dengan makanan dan keselamatan yang mencukupi.

"Kami boleh mencarinya, tidak sukar untuk mencarinya," kata eksekutif Freeland-Thailand Petcharat Sangchai kepada The Associated Press pada Rabu.

"Kami boleh menggunakan bangkai kerbau atau lembu yang mati dan duduk dan menunggu ia makan bangkai itu, dan kami boleh menggunakan senapang untuk menembaknya," ujarnya lagi.

Sehingga kini, belum ada penjelasan terperinci mengenai punca kecacatan haiwan berkenaan.

Namun, Freeland mengesyaki haiwan itu merupakan mangsa pemburuan haram.

Untuk rekod, penggunaan jerat adalah perkara biasa di hutan di seluruh Asia Tenggara.

Pada awal Januari, renjer menahan lima lelaki di dalam hutan dengan dua bangkai harimau dalam simpanan mereka. - Khaosodenglish.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain