suria

Terima Kasih Kerana Bagi Peluang - Nor Azam

Foto kredit: Facebook Azam Azih/ Pahang FA

PETALING JAYA: "Terima kasih kepada jurulatih yang terus memberi peluang kepada saya," demikian ujar pemain pertahanan bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan.

Mohamad Nor Azam Abdul Azih ternyata teruja dengan panggilan kedua Ketua Jurulatih B-22, Datuk Ong Kim Swee bagi menjalani latihan fasa akhir Sukan SEA (KL2017) bermula Ahad.

Pemain berusia 21 tahun kelahiran Jengka, Pahang ini memberitahu bahawa dia akan menggunakan peluang tersebut sebaiknya untuk memastikan tersenarai dalam kelompok 20 pemain terakhir.

"Sebelum ini saya dipanggil jurulatih tetapi tidak mendapat pelepasan daripada skuad negeri.

"Terkejut juga kerana jurulatih masih memberi kepercayaan kepada saya bagi menyertai latihan akhir ini.

"Saya yakin persaingan untuk merebut posisi juga sengit kerana masing-masing akan menunjukkan prestasi terbaik.

"Bagi saya, terpulang kepada diri sendiri untuk membuat 'all out' sebelum nama dipilih," jelasnya ketika ditemui mStar Online.

Nor Azam yang bermain di posisi tengah, berharap skuad negara mampu bermain dengan cemerlang pada saingan KL2017 nanti.

"Bermain di tempat sendiri, di hadapan penyokong sendiri akan memberi lebih semangat kepada kami untuk memberi kemenangan kepada negara. Apa yang penting kami semua bersatu dan bermain bersungguh-sungguh," jelas pemain yang mempunyai hobi mengumpul setem.

Seramai 27 pemain dipanggil menjalani latihan akhir menjelang KL2017 di Kuala Lumpur sebelum perlawanan pertama bermula pada 14 Ogos ini.

Skuad negara bakal membuka tirai perlawanan bertemu Brunei, diikuti Singapura (16 ogos), Myanmar (21 Ogos) dan aksi terakhir kumpulan pada 23 Ogos bertemu Laos.

Skuad B22 Tahun, KL2017

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Tolong Kembalikan Costa!

Artikel Lain