suria

Si bongsu hilang 11 hari, sesat masuk kampung bunian... Ibu menyesal tak sudah suruh beli telur waktu Maghrib

Amir berjaya dijejaki selepas 11 hari hilang, dipercayai disorok bunian. (Gambar Hiasan)

KISAH mengenai alam bunian masih lagi misteri dan kekal menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini.

Ada yang tidak percaya akan kewujudan alam itu, namun bagi Siti Maizura, 28, dia yakin ia benar-benar wujud kerana adiknya sendiri pernah disorok bunian.

Dakwa wanita yang senang disapa Zura itu, adiknya iaitu Wan Amiruddin, 17, pernah hilang disorok bunian selama 11 hari di kampung mereka yang terletak di Tumpat, Kelantan, tiga tahun lalu.

"Walaupun dah lama berlaku, kejadian ini segar dalam ingatan. Saya masih ingat, malam kejadian tu kami sekeluarga ada di rumah. Mak nak masak makan malam, tapi bahan tak cukup.

bunian4

Amir tidak pulang ke rumah selepas keluar ke kedai runcit untuk membeli telur. (Gambar Hiasan)

"Macam biasa, mak minta Amir (adik bongsu) untuk ke kedai runcit dalam kampung kami. Amir sempat merungut kerana diganggu sedang tengok TV, tapi dia akur permintaan mak untuk beli telur.

"Saya dengar Amir hidupkan enjin motor. Masa tu dalam 7.30 malam. Tapi sampai jam 9 dia tak balik-balik. Mak dah bising, pada masa sama mula risau sebab dia tak jawab panggilan," imbasnya yang senang disapa Zura.

ARTIKEL BERKAITAN: Korek kubur tengah malam, tegakkan mayat demi minyak dagu! Mangsa calitan kongsi cerita selepas tonton pendedahan ustaz

Risau dengan kehilangan itu, bapa Zura serta beberapa jiran mula membuat carian di sekitar kampung bermula pukul 10 malam.

Turut mengikuti pencarian itu adalah Ustaz Mahadi yang juga jiran kepada keluarga Zura.

bunian2

Orang kampung dan pihak berkuasa berganding bahu mencari Amir yang hilang. (Gambar Hiasan)

"Saya dengan mak tunggu di rumah. Sekitar pukul 1.30 pagi, dengar bunyi motor ayah. Rupanya ayah dah balik, kemudian ada seorang lagi lelaki bawa motor Amir.

"Kata ayah, motor Amir dijumpai dekat kawasan pokok buluh, berdekatan kawasan sungai dalam kampung. Ustaz Mahadi yang nampak motor tu selepas dia laungkan azan ketika pencarian," imbas Zura.

Pada waktu itu, ibu Zura mula menangis dan meraung, risau akan keselamatan anaknya yang dipercayai telah disorok bunian.

Sejak malam itu, setiap hari keluarga mereka mengadakan solat hajat dan bacaan Yassin sementara orang kampung dan pihak berkuasa membuat carian di sekitar kawasan kampung berkenaan.

Pada hari ke-11 kehilangan itu, Amir akhirnya dijumpai dalam keadaan tak bermaya, tidak jauh dari kawasan pokok buluh tempat motornya dijumpai.

hutan_ku

Amir akhirnya dijumpai dalam keadaan tak bermaya dan langsung tidak ingat mengenai apa yang berlaku. (Gambar Hiasan)

"Dah habis air mata kami sekeluarga. Hari ke-11 baru Amir dijumpai. Dia macam letih kelaparan. Bila tanya pun dia tak nak bercakap.

"Banyak hari juga dia jadi diam. Selepas sihat pun dia tak nak cerita. Kata Amir, dia pun tak tahu dia pergi mana sepanjang 11 hari tu. Selain dibawa ke hospital, Amir turut dirawat ustaz untuk memulihkan semangatnya," kata Zura lagi.

Zura sekeluarga tidak menolak andaian bahawa Amir benar-benar disorok bunian kerana peristiwa sama pernah berlaku di kampungnya, sekitar 18 tahun lalu.

Namun sejak peristiwa itu, ibunya juga sudah trauma dan menyesal untuk menyuruh anak-anak keluar membeli barang pada waktu malam.

"Ibu yang paling terkesan. Dia kata menyesal suruh Amir keluar beli telur waktu macam tu. Sepatutnya Maghrib duduk kat rumah, kena solat, bukannya keluar beli barang," ujar Zura yang juga anak sulung daripada enam beradik.

Sebagai umat Islam kita wajib mempercayai tentang kewujudan makhluk halus dan penerangan tentang bunian pernah dijelaskan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi laman web Maktab Al-Bakri.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain