suria

Pelan-pelan masuk selimut peluk suami, isteri polis terlopong dapat tahu rupanya ‘hubby’ kerja malam... Siapa atas katil?

Amira terkejut mendapati dia sebenarnya tidur dengan makhluk halus ketika suaminya keluar bekerja.

SEBAGAI isteri kepada anggota polis, Nor Amira berkata dia sudah terbiasa ditinggalkan bersendirian di rumah pada waktu malam.

Apabila suaminya keluar bertugas, dia biasanya akan menonton filem menerusi aplikasi Netflix di rumah bagi menghilangkan kebosanan.

Sesekali, dia juga akan mengajak adik-adiknya datang menemani kerana keluarganya tinggal berdekatan, dalam daerah sama di Dungun, Terengganu.

Sepanjang dua bulan bergelar isteri, Amira berkata dia tidak pernah berdepan kejadian aneh ketika bersendirian di rumah sehinggalah berlaku satu kejadian sekitar November tahun lalu.

"Kalau suami keluar bekerja, saya memang duduk di rumah saja. Kadang-kadang ajak adik-adik datang kalau hari cuti. Tapi ada satu kejadian tahun lepas, saya tak sedar yang suami dah keluar bekerja.

6755347A-2613-4D86-8AE3-7793F85B4EF7

Amira biasanya akan menonton filem setiap kali suaminya bekerja pada waktu malam.

"Saya ingat dia tak kerja. Selepas mengemas di dapur, saya nampak suami dah berdengkur, tidur berbungkus dalam selimut. Dia memang suka tidur macam tu. Saya malas nak kacau, saya keluar main fon kat ruang tamu.

"Dalam jam 12.30 malam, saya tutup lampu dan masuk tidur. Dalam keadaan gelap, saya baring dan masuk dalam selimut. Saya peluk suami macam biasa, badannya rasa agak sejuk. Agak pelik sebenarnya, sejuk lain macam.

"Saya tepuk-tepuk bahu, tanya dia tak sihat ke? Tapi suami hanya mendengus. Saya fikir mungkin dia mengantuk malas nak layan. Dalam keadaan mengantuk, saya juga terlelap di sisi suami," ujarnya memulakan cerita.

Ketika sedang nyenyak tidur, Amira berkata dia tersedar kerana terdengar bunyi kuat dari depan pintu kediamannya.

"Saya dengar bunyi orang goncang pintu. Terus saya bangun. Tengok-tengok suami pun tak ada kat sebelah. Saya fikir mungkin dia dah keluar kot. Saya tengok jam pun dah 7.30 pagi. Memang lena tidur semalam.

nasi lemak 2

Suami Amira yang sedang menjamu nasi lemak turut terkejut selepas mendengar cerita seram isterinya.

"Selepas berhenti bunyi orang goncang pintu, fon saya berbunyi. Suami yang call. Jadi saya pun angkatlah. Dia minta saya buka pintu kerana dia tertinggal kunci," ujar Amira lagi.

Selepas membuka pintu, dia melihat suaminya membawa plastik berisi dua bungkus nasi lemak dan terus ke bahagian meja makan.

Lantas dia terus ke dapur untuk membuat kopi sebelum mereka duduk bersama sambil beborak di meja makan.

"Pukul berapa awak keluar beli makanan? Saya tak sedar awak keluar?" soal Amira kepada suaminya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tukang towing menyesal tengok mayat rentung, sekeluarga kena badi! Tragedi kereta hangus di Jeli terus jadi misteri

Sambil menyuap nasi lemak daun pisang yang dibeli daripada kedai berdekatan, suaminya selamba menjawab yang dia telah keluar sekitar pukul 9 malam ketika Amira sedang mencuci pinggan di dapur.

"Masa awak sibuk kat dapur semalam saya keluar. Saya dah bagitahu tapi awak senyap je. Awak tak dengar kot sebab bising-bising dengan bunyi TV lagi," jawab suaminya.

Muka Amira terus berubah pada waktu itu dan dia sekali lagi bertanya sekiranya suaminya bergurau atau dia benar-benar keluar rumah seawal pukul 9 malam.

553

Amira dan suami berpindah ke rumah baharu selepas kejadian itu. (Gambar Hiasan)

"Habis tu saya tidur dengan siapa semalam? Badan awak sejuk. Apabila saya kejutkan awak tak nak bangun. Awak tak payah nak bergurau," ujar Amira yang mahu menyedapkan hatinya.

Pada waktu itu, suaminya turut terkejut mendengar cerita Amira dan bertanyakan sekali lagi mengenai 'makhluk' yang dipeluknya semalam.

Selepas mengetahui bahawa bukan suaminya yang dipeluk pada malam itu, Amira menangis ketakutan dan mula tidak tenang sekiranya kejadian itu bakal berulang.

Selain Amira, suaminya juga mula risau untuk keluar bekerja memandangkan wanita itu kini trauma selepas memeluk 'makhluk' aneh ketika dia tiada di rumah.

Mereka turut sepakat untuk memangggil ustaz untuk 'memagar' kediaman itu selepas mendapat nasihat daripada kenalan dan ahli keluarga.

"Sehari selepas kejadian itu, kami ada panggil ustaz. Memang benar, rumah ini ada yang 'menumpang' kata ustaz tu. Kami pun baru je pindah dua bulan sebelum tu, baru masuk sini selepas kahwin.

"Disebabkan rasa trauma lepas kejadian tu, saya paksa adik datang teman setiap kali suami keluar bekerja malam. Tak sampai sebulan lepas kejadian tu, saya dan suami dah pindah keluar.

"Walaupun kejadian tu berlaku sekali saja, tapi saya dah trauma. Saya tak nak duduk situ lagi," cerita Amira lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Berkaitan

Artikel Lain