suria

Kencing tepi semak, rider pecut motor tak ingat dunia selepas disergah pocong muka hitam... seluar pun tak sempat zip!

Zul trauma selepas mendakwa terserempak pocong ketika bekerja pada waktu malam. (Gambar Hiasan)

DEMI mengumpul wang untuk berkahwin, rider penghantar makanan ini sanggup bekerja siang dan malam sejak setahun yang lalu.

Hanya mahu dikenali sebagai Zul, 27, dia bagaimanapun serik untuk keluar bekerja pada waktu malam selepas mendakwa terlihat kelibat pocong di satu kawasan di Rawang, Selangor, baru-baru ini.

"Saya dulu ada kerja proper tapi diberhentikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sejak itu saya jadi rider. Tahun lepas saya bertunang, jadi terpaksalah kerja lebih masa, siang dan malam.

"Ketika hantar makanan di Rawang minggu lepas, saya rasa tak tahan nak kencing. Stesen minyak pun tak jumpa. Jadi saya berhenti dekat tepi kawasan semak, saya kencing je la kat situ. Lelaki mudah je.

rider 3

Zul sanggup bekerja siang dan malam demi mengumpul wang bagi mendirikan rumah tangga. (Gambar Hiasan)

"Masa kencing tu, saya dengar bunyi benda bergerak dalam semak. Saya tengok daun-daun pokok bergerak. Dalam samar-samar saya tengok ada benda berbungkus dalam kain putih lusuh," ujarnya memulakan cerita.

Menurut Zul, dia cuba bersangka baik dan cuba mengamati kehadiran 'bungkusan' misteri itu sebelum dikejutkan dengan wajah hitam yang buruk di bahagian atasnya.

"Saya nampak kain putih buruk tu. Ingatkan ada orang buang sampah kat situ. Bukannya cerah, nampak tak nampak je. Saya pun selamba suluh dengan torchlight telefon.

1228110

Zul terkejut melihat bungkusan putih dengan wajah hitam ketika berhenti kencing di tepi semak. (Gambar Hiasan)

"Rasa nak tercabut jantung tengok muka hitam buruk, macam ada darah dekat muka tu. Masa tu baru saya terfikir bahawa itu pocong. Tiba-tiba bau busuk kuat gila. Tak sempat zip seluar saya lari ambil motor.

"Rokok dan mancis saya pun terjatuh kat situ. Memang tak fikir dah. Saya terus pecut sampailah ke kawasan perumahan. Cerah la sikit ada lampu. Mujurlah juga kejadian berlaku selepas hantar makanan. Jadi saya terus balik rumah," ujarnya lagi.

Menurut Zul, dia yang terkejut dengan kejadian itu mula tidak sedap badan dan bangun dalam keadaan menggigil pada esok pagi.

rider 4

Sejak kejadian itu, Zul trauma untuk keluar bekerja pada waktu malam. (Gambar Hiasan)

Kejadian itu juga menyebabkan Zul demam beberapa hari dan terpaksa bercuti daripada melakukan kerja-kerja penghantaran makanan.

"Tiga ke empat hari juga saya demam. Tapi ini bukanlah kejadian pertama. Dulu masa duduk asrama pun pernah nampak. Tapi kejadian kali ni memang betul-betul real, nampak depan-depan, dekat pula.

"Sekarang dah jarang saya on waktu malam. Selepas Maghrib je saya dah balik. Tak berani lagi nak kerja sampai waktu malam.

"Alhamdulillah, selepas kejadian itu, saya juga ada terima panggilan temuduga. InsyaAllah kalau dapat kerja lain, saya dah tak perlu jadi rider," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain