suria

Nasib malang menoreh awal pagi, 4 ekor kucing jadi peneman tiba-tiba lesap... Bau busuk menusuk hidung rupa-rupanya wajah berulat

Kemunculan makhluk wanita berwajah seram menyebabkan Asri ketakutan. - Gambar Sekadar Hiasan

JAM baharu menunjukkan pukul 7 pagi tetapi Asri sudah pulang ke rumah dari kebun getah. Wajahnya pucat dan badannya menggeletar. Sepatutnya pada waktu itu, penoreh getah giat menoreh kerana susu getah akan keluar dengan di awal pagi.

Ketika sampai di rumah, pertanyaan isterinya juga dibalas sepi dan Asri terus berselubung di dalam selimut dengan pakaian menorehnya yang berbau busuk dan badan berpeluh.

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa pernah lalu jalan Muadzam Shah - Chini? Pemuda ini nyaris kemalangan selepas memintas wanita tidak berwajah pada 1 pagi

"Tiga hari saya demam panas dan menggeletar seluruh badan... Belum pernah seumur hidup saya rasa demam seperti ini sampai tidak dapat berkata apa-apa.

"Pertanyaan isteri langsung tidak saya jawab, seolah-olah mulut saya terkunci tentang apa yang berlaku kepada saya," katanya.

Mengimbau kejadian menimpanya dua tahun lalu, Asri memberitahu kisahnya bermula apabila dia baharu sahaja berpindah ke Felda Jelai di Gemas, Negeri Sembilan dan mendapat pekerjaan sebagai penoreh di sebuah kebun getah. Kebun itu berkeluasan 10 ekar milik salah seorang penduduk di felda itu.

Kebiasaannya, Asri akan keluar menoreh awal pagi memandangkan kedudukan kebun getah itu agak jauh daripada rumahnya.

Makhluk Halus dalam hutan.

Kemunculan makhluk itu dihadapannya membuatkan Asri demam selama tiga hari.

"Memandangkan saya sudah lama tidak menoreh getah, pergerakan saya agak lambat berbanding rakan yang lain. Jadi saya ambil keputusan untuk keluar lebih awal untuk menoreh sekitar pukul tiga pagi meskipun seorang diri di kebun," ujarnya.

Hari pertama Asri keluar menoreh pada pukul 3 pagi, dia cukup bersemangat sehinggakan siap memakai lampu suluh dari rumah yang diletakkan pada bahagian dahi.

Rasa takut itu tetap ada tetapi Asri tetap memberanikan diri kerana tidak mahu menyusahkan rakan-rakan yang lain dan ini adalah sumber pendapatannya.

4 ekor kucing peneman

Ketika ingin memulakan tugasnya, Asri didatangi oleh empat ekor kucing yang mengikutnya masuk ke dalam kebun, seolah-olah memahami dia bersendirian dan ingin menemaninya.

Belum pernah melihat kelibat kucing di kebun itu sebelum ini, Asri tidak terfikir sesuatu yang pelik malah berasa lega kerana haiwan itu setia mengekorinya setiap kali dia bergerak ke satu pokok ke pokok yang lain.

Bagai hendak pecah pintu saya ketuk sebelum isteri membukanya dan saya terus melulu masuk dan berselubung dalam selimut sampai demam tiga hari.

ASRI

"Kurang juga rasa takut saya, maklum sahaja kawasan kebun gelap gelita dan hanya mengharapkan pada lampu suluh di atas kepala.

"Mujur ada empat ekor kucing yang setia teman saya, macam tahu-tahu sahaja saya seorang diri," katanya.

Hari-hari berikutnya, kesemua kucing itu masih setia menantinya setiap kali dia tiba di kebun tepat pukul 3 pagi namun pagi itu kelibat haiwan itu tidak kelihatan.

Tidak menganggap sesuatu yang pelik, Asri menyelusuri masuk ke kawasan kebun untuk memulakan kerjanya sebelum bulu romanya tiba-tiba meremang dan berasa tidak sedap hati.

Enggan melayan perasaannya, Asri meneruskan kerjanya sebelum dia terlihat bayang lampu suluh tidak jauh daripadanya.

"Dalam hati, saya rasa lega ada juga rupa-rupanya orang lain di kebun waktu begini. Jadi tidaklah saya rasa takut sangat," ceritanya.

Bau busuk, makhluk wajah berulat munculkan diri

Dalam sedang ralit menoreh dan melayan perasaan, Asri memberitahu bulu romanya kembali meremang sebelum tercium bau busuk yang cukup menyengatkan hidungnya.

kebun getah

Asri hanya berpandukan kepada lampu suluh yang diletakkan di atas kepala.

"Hendak kata bau getah, bukan... bau getah saya sudah terbiasa. Ini bau busuk yang melenyapkan bau getah dan tak boleh saya gambarkan. Apa yang pasti ia memang busuk.

"Perasaan ketika itu memang rasa macam nak larikan diri tapi bila nampak ada lampu suluh tidak jauh daripada saya, rasa lega juga... Peliknya saya jerit panggil tidak pula disahut," ceritanya lagi.

Menyedari ada sesuatu yang tidak kena, Asri ingin segera menyelesaikan tugasnya namun semakin lama, bau busuk itu semakin menghampirinya sehingga dia rasa ingin termuntah.

Seterusnya dia merasakan di belakang tengkuknya seperti dibelai seseorang lalu dia dia terperanjat apabila menoleh ke belakang.

"Apabila saya toleh ke belakang dan lampu suluh menyuluh ke arahnya, berderau darah saya apabila melihat kelibat menyerupai seorang wanita tetapi cukup menakutkan.

"Wajahnya buruk, berulat, rambutnya kusut masai, bau busuk itu datang daripadanya... Saya tergamam dan kaki seolah-olah dipaku dan tak boleh melarikan diri.

Kebun

Sejak kejadian menyeramkan itu, Asri tidak lagi berani keluar menoreh getah sebelum subuh.

"Untuk seketika, saya rasa kami bertentangan mata. Ia perkara menakutkan pernah saya alami," katanya.

Mengumpul semangat dengan yang kuat, Asri berjaya melarikan diri tanpa menoleh ke belakang namun dapat merasakan makhluk itu mengejarnya.

Ikut balik ke rumah, demam tiga hari

Katanya, itu juga larian paling laju yang pernah dilakukannya sehingga dia meninggalkan semua peralatan menoreh di kebun.

"Keluar sahaja daripada kebun, saya terus pecut pulang ke rumah. Tapi jangkaan saya silap, ketika saya cuba bertenang sebelum masuk ke rumah, saya lihat makhluk itu sedang bertenggek di atas pokok di hadapan rumah.

"Bagai hendak pecah pintu saya ketuk sebelum isteri membukanya dan saya terus melulu masuk dan berselubung dalam selimut sampai demam tiga hari," ujarnya.

Kejadian menimpanya menjadi bualan hangat penduduk kampung dan rupa-rupanya ia bukan perkara baharu apabila pemilik kebun memberitahu kawasan kebunya itu memang keras.

"Dia lupa hendak beritahu saya jangan menoreh sebelum subuh kerana memang kebunnya itu keras dan pelbagai kejadian pelik pernah berlaku.

"Sejak itu memang saya serik dan hanya keluar menoreh selepas Subuh dan Alhamdulillah selain demam, saya tidak diganggu lagi selepas kejadian itu," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain