Pengunjung Pantai Pasir Pandak dirasuk jadi pendekar, jururawat hilang tidak ditemui - Mistik | mStar

Pengunjung Pantai Pasir Pandak dirasuk jadi pendekar, jururawat hilang tidak ditemui

Pantai Pasir Pandak di Santubung merupakan tempat tumpuan beriadah namun ada kisah misteri di sebaliknya.

PANTAI Pasir Pandak yang terletak di Santubong, Sarawak adalah antara pantai yang menjadi tumpuan orang ramai, malah boleh dikatakan antara tempat yang sesuai untuk berkelah dan menikmati alam semulajadi.

Namun di sebalik popularitinya, terdapat kisah misteri baik secara tersurat dan tersirat yang selama ini berlaku di pantai berkenaan.

Sering kali kedengaran individu dirasuk oleh 'penghuni' di sepanjang pantai berkenaan.

Menurut cerita penduduk yang tinggal di Kampung Pasir Pandak, mereka yang dirasuk kononnya telah melakukan perbuatan yang salah seperti membuat 'kekotoran' di pantai berkenaan.

Kekotoran yang dimaksudkan adalah seperti membuang sampah merata-merata, kencing sesuka hati di pantai, bermulut celupar, melakukan maksiat atau berzina.

Kejadian rasuk biasanya berlaku pada waktu malam.

Pantai Pasir Pandak dikaitkan dengan kisah misteri.

Pernah terjadi di pantai yang sama sekitar tujuh tahun lalu apabila lima pemuda dan empat wanita melepak di pantai berkenaan sekitar pukul 1 pagi.

Salah seorang pemuda dari kumpulan tersebut dikatakan telah kencing sesuka hati di pantai berkenaan.

Selepas kencing, dia meraung-raung seperti orang gila dan tiba-tiba matanya menjadi merah.

Melihat kelakuannya yang aneh, rakan-rakannya segera menangkap dan cuba menenangkan dirinya namun semua mereka tersungkur selepas lelaki itu bersilat.

Seorang penduduk Kampung Pasir Pandak yang enggan didedahkan namanya ketika menceritakan kisah seram itu berkata cukup menghairankan apabila lelaki itu dapat bersilat dengan begitu baik.

"Bunga-bunga silat yang dibuka olehnya cukup cantik. Lagaknya seperti seorang pendekar terbilang," katanya ketika ditemubual.

Jururawat berusia 23 tahun itu gagal ditemui sehingga ke hari ini, lantas mencetuskan tanda tanya walaupun operasi besar-besaran bagi mencari dan menyelamat telah dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan.

Menurutnya lagi, menyedari mereka tidak berjaya menenangkan mangsa yang dirasuk, salah seorang rakannya segera meminta pertolongan penduduk kampung.

Mereka amat bernasib baik kerana secara kebetulan ada seorang lelaki yang dikenali sebagai Sudarman (bukan nama sebenar) membantu menenangkan mangsa, kononnya dengan mengarahkan jin yang merasuk dalam badannya supaya keluar.

Namun untuk mengarahkan jin tersebut keluar bukanlah perkara mudah, kerana Sudarman juga terpaksa bertarung dan mempersembahkan seni silat.

"Pertarungan berlarutan hampir 40 minit. Namun jin tersebut masih juga tidak mengalah dan aksi kedua-dua mereka tidak ubah seperti drama," kata lelaki berkenaan.

Difahamkan, Sudarman yang bertarung silat dengan jin tersebut bukanlah calang-calang orang. Dia cukup mahir dan handal dalam ilmu persilatan, maka tidak hairanlah dia mampu menepis setiap gerakan dan serangan jin tersebut.

Setelah pertarungan berlarutan hampir 50 minit, akhirnya jin tersebut penat dan mengaku kalah, lalu segera keluar dari badan mangsa.

Selepas itu katanya, Sudarman berbual dengan jin tersebut yang mana hanya Sudarman dapat melihatnya.

Kawasan pantai ini menarik namun ia agak 'keras'.

Menurut Sudarman punca jin berkenaan merasuk lelaki itu disebabkan dia kencing sesuka hati dan kebetulan dikatakan lokasi itu adalah tempat tidur jin.

Susulan perbuatan kurang sopan mangsa, jin tersebut dipercayai telah marah.

Apa yang cukup menarik, jin yang merasuk badan mangsa telah menyebabkan mangsa menjadi seorang pendekar.

Dia mendakwa, pendekar tersebut adalah salah seorang hulubalang yang cukup handal kepada Sultan Tengah yang memerintah kerajaan Sarawak Darul Hana satu ketika dahulu.

Oleh itu, tidak kiralah ke mana pun anda pergi, janganlah melakukan perkata tak senonoh yang boleh mendorong kemarahan entiti lain di dunia ini.

Harus diingat bukan kita sahaja yang menghuni dunia ini, sebaliknya terdapat makhluk Allah lain yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar kita.

Satu lagi kisah misteri di Pantai Pasir Pandak adalah kehilangan seorang jururawat Hospital Umum Sarawak (HUS), yang dihanyutkan arus di pantai berkenaan pada Disember 2015.

Jururawat berusia 23 tahun itu gagal ditemui sehingga ke hari ini, lantas mencetuskan tanda tanya walaupun operasi besar-besaran bagi mencari dan menyelamat telah dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan.

Jururawat yang berasal dari Johor itu dilaporkan hilang ketika beriadah bersama beberapa rakannya di kawasan perkelahan itu pada waktu senja, 12 Disember 2015.

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my
rasuk , Pantai Pasir Pandak , misteri

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

Populasi penduduk kunci utama PSKL2040

DBKL menekankan aspek populasi penduduk sebagai kriteria utama dalam merangka pelan pembangunan di ibu kota.

Artikel Lain