Wajah isteri macam beruk akibat si suami cemburu buta - Mistik | mStar

Wajah isteri macam beruk akibat si suami cemburu buta

Setiap kali bekas suaminya tahu dia menjalin hubungan dengan lelaki, maka wajahnya akan berubah menjadi beruk menyebabkan ramai lelaki akan lari. Ilustrasi: ZULHAIMI BAHARUDDIN

BAHTERA perkahwinan yang dilayari pasangan ini selama lima tahun penuh dengan kebahagiaan, mereka saling mencintai bukan baru, tetapi sejak zaman universiti lagi, namun ditakdirkan belum dikurniakan zuriat.

Razi dan permaisuri hatinya, Naemah bagaikan belangkas. Hanya waktu bekerja yang memisahkan mereka sebelum dipertemukan semula kerana Razi lebih rela menghantar dan mengambil isterinya di pejabat.

Dijadikan cerita, pejabat Naemah merancang melakukan pengubahsuaian dan kontraktor yang membida projek perlu menemui wanita jelita itu untuk menyerahkan dokumen berkaitan.

Maka di sinilah segalanya bermula. Sekitar pukul 11.30 pagi, sebuah kereta mewah berhenti di depan pejabat Naemah.

Seorang lelaki berpakaian kemas dan wajah yang tampan keluar menuju ke meja penyambut tetamu. Dia menyatakan hasrat untuk menemui pegawai yang bertanggungjawab mengendalikan tender projek pengubahsuaian itu.

Selang beberapa minit Naemah yang setiap hari melaram dengan gaya 'up to date' pun mengatur langkah ke bilik tetamu. Mata mereka bertentang dan kedua-duanya saling terkejut.

"Eh Zali, awak buat apa kat sini," kata Naemah.

"Laaa, Naemah kan? Kerja kat sini rupanya. Lama sungguh kita tak jumpa kan," kata Zali, si kontraktor itu.

Razi akhirnya menemui pengamal ilmu hitam untuk membalas perbuatan isterinya yang mempunyai hubungan dengan lelaki lain. Gambar hiasan.

Perbualan mereka rancak sekali selepas itu hingga membawa kepada ajakan Zali untuk membawa Naemah menikmati hidangan tengah hari bersamanya.

Rupa-rupanya mereka kenalan lama, malahan bukan setakat itu sahaja kerana keduanya pernah menjalin hubungan cinta suatu ketika dulu ketika sama-sama bekerja sambilan di sebuah kedai buku selepas tamat persekolahan.

Seperti biasa petang itu, Razi tetap setia mengambil si isteri di pejabat dan kerana mereka hanya berdua maka makan di kedai lagilah nampaknya.

Lagipun Razi tidak mahu menyusahkan Naemah meminta isterinya memasak, kecuali pada hujung minggu.

Namun makan malam pasangan ini agak berbeza dan Razi rasa terganggu apabila berkali-kali Naemah dilihat tersenyum sambil membalas mesej menerusi telefon bimbitnya.

"Siapa yang mesej tu, berderet-deret pulak tu. Makan dulu la," kata Razi yang bunyinya sedikit cemburu.

Mendengar nada suara suaminya, Naemah akur dan menyimpan telefon bimbitnya ke dalam beg. Tanpa berkata apa-apa dia menikmati hidangan dan beberapa saat kemudian memulakan perbualan bagi mengambil hati Razi.

Tiba di rumah, ketika Razi mandi Naemah bagaikan tak sabar melihat mesej di telefonnya. Siapa lagi kalau bukan Zali yang mengirim pelbagai mesej itu.


Tok... tambah lagi tok, saya tak mau dia sangkut dengan sesiapa pun. Biar dia menjanda sampai mati," kata Razi penuh dendam.


Mulai hari itu, sedikit demi sedikit hati Naemah dicuri Zali dan sayangnya pada Razi bagaikan terhakis. Tentunya Razi dapat menghidu perubahan isterinya hingga dia nekad menyiasat.

Setelah bukti dikumpul, Razi bagaikan tidak dapat menerima perlakuan Naemah, tapi dia tetap melayan isterinya seperti biasa kerana tidak mahu Naemah tahu bahawa rahsianya telah terbongkar.

Selepas beberapa bulan, Naemah seperti biasa melayan Razi sebagai suami dan Zali hanya kawan lama dan 'client' di pejabatnya. Tetapi itu tidak cukup buat Razi yang makin hari makin menebal cemburunya.

Ketika itu, Razi mula hilang akal dan enggan dianggap dayus, dia menceraikan Naemah dan bukan setakat itu sahaja, Razi bertindak di luar jangkaan. Dia mengambil jalan mudah menggunakan ilmu hitam.

Hampir dua minggu selepas itu, Razi mendapat khabar hubungan Naemah dan Zali putus dan puncanya tidak diketahui. Razi tersenyum puas kerana sememangnya dia tahu sebabnya.

"Padan muka! Kau ingat aku ni apa ye," detik hati Razi.

Naemah kesunyian dan tambah bingung kerana tidak tahu punca ditinggalkan Zali. Berkali-kali dia bertanya tapi Zali mengelak, enggan berterus terang.

Namun kejelitaannya membuatkan dia menjadi kegilaan ramai. Seorang pergi, berderet yang datang. Tetapi, mungkin ditakdirkan hubungannya tak lama dengan sesiapa pun terutama apabila ia dihidu Razi.

"Tok... tambah lagi tok, saya tak mau dia sangkut dengan sesiapa pun. Biar dia menjanda sampai mati," kata Razi penuh dendam.

"Dah jadi binatang pun, tak dak sapa yang nak," jawab tok bomoh tu.

"Hahaha...." gelak besar Razi yang sama sekali tidak fikirkan balasan Tuhan terhadapnya nanti.

Selepas dua hubungan kasihnya berakhir tanpa ikatan, Naemah bagaikan tersentak. Rakannya menasihatkannya supaya berubat kerana bimbang ada 'yang tak kena' pada dirinya.

Pertemuan dengan seorang wanita berusia sekitar lewat 50-an bagaikan mengubah segala-galanya. Ketika itu Naemah baru menjalin hubungan dengan lelaki yang empat tahun lebih muda.

Selepas dimandikan dan dibuang 'benda' yang dihantar kepadanya, segalanya terbongkar. Rupanya selama ini, sesiapa sahaja yang 'ada hati' pada Naemah, bukan wajah cantik manis itu yang ditatap, tetapi muka beruk yang mereka lihat.

"Ya Allah, patut la ada yang lari lintang pukang bila jumpa saya," kata janda Razi itu.

Sebelum pulang dia dibekalkan dengan air yang dibaca ayat-ayat al-Quran, begitu juga kosmetik yang digunakan Naemah. Malahan, janda berusia 30 tahun itu dinasihatkan supaya tidak sekali-kali tinggalkan amalan wajib lima waktu sehari.

Sejak itu, Naemah mula menutup aurat dan amalan hariannya sama ada solat, puasa sunat dan amal jariah banyak membantu menenangkan dirinya.

Pemuda yang mendekatinya juga telah meminangnya dan mereka bakal diijabkabulkan dalam masa terdekat.

Razi pula bagaikan gila talak, namun tidak dilayan Naemah yang mahu berubah menjadi isteri yang solehah dan menjadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran buat dirinya.

Sesungguhnya al-Quran itu ada segala-galanya. Jangan disangkal dan dekatilah ia untuk manfaat di dunia, mahupun akhirat.

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my
ilmu hitam , misteri

Artikel Berkaitan

Artikel Lain