suria

Single sampai akhir hayat? Jika nak duduk rumah orang tua, 5 perkara ini anda perlu tahu

Menghabiskan sisa kehidupan di rumah orang tua menjadi opsyen buat individu yang tidak mempunyai cahaya mata. -Gambar hiasan

KALAU tak ada anak, siapa yang nak jaga nanti dah tua?

Mungkin itulah soalan yang sering bermain di fikiran si 'bujang terlajak' sehingga mereka runsing mengenang hari tua kelak.

Melihat perbualan di media sosial, ramai anak muda terbuka dengan idea untuk menghabiskan sisa kehidupan di Pusat Jagaan Orang Tua sekiranya mereka tidak berkahwin dan tidak mempunyai cahaya mata.

Jika anda merancang untuk menetap di fasiliti itu, berikut kami kongsikan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian.

Menurut portal MyHealth, anda seharusnya memilih fasiliti yang memberi perkhidmatan yang anda perlu, lokasi yang strategik (lawatan pesakit dapat dilakukan dengan senang dan kerap), mengikut bajet anda dan paling penting sekali, fasiliti yang masih ada ruang untuk menempatkan pesakit.

Selepas itu, anda seharusnya membuat lawatan ke fasiliti itu untuk meneliti:

1. Perkhidmatan

Adakah fasiliti itu menyediakan skop perkhidmatan yang anda perlu, contohnya terapi rehabilitasi, kejururawatan, doktor dan lain-lain? Anda juga perlu bertanya tentang kos perkhidmatan ini kerana kebanyakan perkhidmatan ini dicaj secara berasingan.

file6rwwjgju0mg14yz4regp

Anda dinasihatkan agar meneliti kontrak anda dengan fasiliti itu terlebih dahulu.

Perkhidmatan menghantar pesakit ke hospital atau klinik untuk rawatan susulan juga penting dan sekiranya disediakan, akan memudahkan pesakit.

2. Staf

Anda perlu bertanya tentang bilangan staf yang bertugas dan kelayakan mereka. Seboleh-bolehnya nisbah pesakit kepada staf seharusnya tidak terlalu tinggi kerana ia boleh menjejaskan mutu perkhidmatan mereka.

Anda boleh bertanya keluarga pesakit lain untuk mendapat gambaran yang lebih jelas.

3. Persekitaran

Fasiliti itu perlu selesa dan tidak terlalu sesak dengan sistem pengudaraan yang baik. Tandas dan peralatan khas seperti kerusi roda, katil, lantai dan lampu juga perlu selamat untuk pesakit atau penghuni. Keselamatan fasiliti itu juga penting.

4. Makanan dan ubat-ubatan

Makanan yang disediakan perlu seimbang dan sesuai untuk pesakit (contohnya, makanan mudah kunyah untuk pesakit yang tidak ada gigi dan makanan cecair contohnya susu untuk mereka yang tidak dapat menelan).

Anda juga perlu memberitahu staf fasiliti tentang jenis ubat-ubatan yang diperlukan oleh pesakit dan sebarang alahan yang mungkin pesakit ada.

5. Kontrak

Anda perlu meneliti kontrak dengan fasiliti itu terlebih dahulu sebelum menandatanganinya. Dapatkan jawapan dan penerangan untuk sebarang kemuskyilan yang mungkin timbul.

Anda seharusnya meneliti beberapa buah fasiliti terlebih dahulu sebelum membuat keputusan. Ini untuk memastikan pesakit mendapat penjagaan yang terbaik.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain