suria

Keliru yang mana bagus? Pertimbangkan 7 perkara ini sebelum pilih sekolah terbaik untuk anak

Pemilihan sekolah menengah untuk anak-anak harus diberikan perhatian yang teliti. -Gambar hiasan

PEMILIHAN sekolah menengah menjadi salah satu perkara penting untuk ibu bapa yang mahukan proses dan persekitaran pembelajaran terbaik untuk anak-anak mereka.

Sesebuah sekolah itu haruslah mempunyai suasana pembelajaran yang harmoni agar pelajar dapat menimba ilmu dengan jayanya.

Namun begitu, lambakan sekolah menengah termasuk sekolah berasrama penuh (SBP) yang terdapat di seluruh negara menyebabkan ibu bapa boleh menjadi buntu dalam membuat keputusan.

sbp 4

Sekolah menengah akan membantu membentuk masa depan anak-anak. (Gambar hiasan, Freepik)

Guru Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Taiping, Perak, Mohd Shahid Ahmad berkongsikan beberapa tip di laman Facebook miliknya mengenai faktor yang perlu diambil kira dalam memilih sekolah menengah.

Ayuh kita lihat dan fikirkan semula apa yang terbaik untuk anak-anak, ini melibatkan masa depan mereka.

1) Gred Purata sekolah

Gred Purata Sekolah (GPS) ialah nilai pencapaian gred secara keseluruhan yang melibatkan semua mata pelajaran yang diduduki oleh pelajar dalam peperiksaan.

Semakin rendah semakin bagus. Walaupun kedudukan sekolah itu tak penting, tapi dalam konsep memilih yang terbaik untuk anak, ibu bapa boleh rujuk pencapaian SPM berdasarkan GPS sekolah tersebut dan bandingkan.

Konsisten dalam kecemerlangan tu penting dan perlu diberi perhatian.

Prestasi akademik semasa sekolah adalah indikasi yang perlu diberikan perhatian oleh ibu bapa. (Gambar hiasan, Freepik)

2) Sekolah kluster kecemerlangan

Sekolah ni dulu dikenal pasti cemerlang dalam klusternya berdasarkan aspek pengurusan sekolah dan kemenjadian murid.

Boleh semak data-data kecemerlangan yang sekolah itu pernah perolehi. Pengukuran umum adalah seperti berikut:-

Sekolah berasrama penuh (SBP): GPS 2.5 dan ke bawah

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA): GPS 3.0 dan ke bawah

Sekolah Menengah Teknik (SMT): GPS 4.0 dan ke bawah

Sekolah menengah harian: GPS 4.0 dan ke bawah

3) Pilih sekolah yang berprestij 'legend'

Sekolah yang ternama ini mempunyai beberapa kelebihan, antaranya pasukan alumni yang hebat, berjaya melahirkan tokoh awam yang disegani dan kakitangan sekolah yang berjuang untuk mengekalkan prestasi sekolah.

Pilihlah sekolah lama tetapi semangat yang sentiasa baharu, jangan pula pilih sekolah lama yang infrastruktur sekolah serta gaya berfikiran turut ketinggalan zaman.

Komuniti sekolah yang terdiri dari tenaga pengajar dan staf berpengalaman juga memainkan peranan. (Gambar hiasan, Freepik)

4) Aliran pengajian di sekolah

Berjayanya pelajar itu tidak boleh diukur berdasarkan aliran pengajian tetapi bergantung kepada penguasaan, minat dan hala tuju anak. Anak kita yang akan berada di sekolah untuk belajar kelak.

Stigma jurusan pelajar sains tulen itu lebih baik adalah dongeng semata-mata.

Biarlah anak memilih bidang berdasarkan minat bukan pilihan ibu bapa.

Ada pelajar yang dah dapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 9A+ pun masih tak tahu nak sambung belajar apa, disebabkan anak tidak diberi ruang untuk membuat keputusan.

Sebenarnya, pelajar yang bijak akan memilih bidang sesuai dengan perjalanan cita-citanya yang akan memacu kerjayanya selepas meninggalkan zaman belajar.

5) Sekolah dekat rumah

Tidak salah memilih sekolah cemerlang yang dekat dengan rumah. Zaman sekarang, kemampuan ekonomi dan kemudahan pengangkutan ibu bapa juga perlu diambil kira.

Tetapi perlu pastikan pilihan sekolah itu tepat dengan mengambil kira pencapaian sekolah tersebut.

Jika dekat dengan rumah tetapi sekolah tidak cemerlang tak bagus juga bukan?

Pastikan aliran pengajian yang dipilih adalah di atas kehendak anak-anak sendiri. (Gambar hiasan, Freepik)

6) Kualiti tenaga pengajar

Berapa ramai guru cemerlang di sekolah itu?

Lazimnya guru cemerlang akan menjadi pemeriksa kertas, penceramah teknik menjawab peperiksaan dan pakar bidang yang akan memberi kelebihan kepada sekolah dari segi meningkatkan pencapaian peperiksaan pelajar.

Aspek lain adalah gabungan antara guru lama dan baharu yang akan membentuk sistem pemikiran, model intelektual dan kepimpinan pengetua.

Jadi sebagai panduan, ibu bapa boleh melawat laman sesawang sekolah tersebut untuk dapatkan maklumat mengenai sekolah berkenaan.

7) Bersediakah anak untuk sekolah berasrama?

Ingat, yang nak belajar itu anak bukan ibu atau bapa.

Maklumkan kepada anak-anak yang mereka akan mengalami rutin harian yang padat dan pengurusan diri secara sendiri.

Terdedah kepada kejutan budaya, saingan yang lebih kompetitif kerana telah dikelompokan dengan semua pelajar yang pandai dan bersedia untuk berjauhan dari keluarga.

Sangat penting siapkan fizikal dan mental anak. - Shahid Ibnu Ahmad

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain