suria

Bahaya jika asyik lupa anak! Ini tip elak tertinggal si manja dalam kereta

Insiden anak ditinggalkan dalam kereta kerap terjadi hingga berlaku kematian. -Gambar hiasan

BANYAK dilaporkan tentang insiden anak ditemukan tidak sedarkan diri selepas beberapa jam ditinggalkan di dalam kereta.

Namun masih terdapat dalam kalangan ibu bapa atau penjaga yang tidak peka dengan bahaya membiarkan anak-anak tanpa jagaan.

Oleh itu apakah caranya untuk mengelakkan kesilapan sebegini daripada terus berulang?

lupa 1

Kesilapan yang kelihatan mudah boleh meragut nyawa yang tersayang dengan sekelip mata. (Gambar hiasan, Freepik)

Perkongsian di Facebook oleh ahli perubatan daripada kumpulan Medical Tweet Malaysia (MedTweetMY), Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan ada jawapannya.

Ibu bapa boleh mengamalkan langkah-langkah ini agar tidak mudah terlupa dengan anak yang dibawa.

1) Letak anak di bahagian belakang tempat duduk penumpang hadapan

Jangan letak kerusi kanak-kanak di belakang kerusi pemandu. Di situ adalah titik buta (blindspot).

Letak di bahagian belakang tempat duduk penumpang hadapan agar ia berada dalam ruang pandangan.

2) Periksa kabin kenderaan sebelum mengunci kereta

Sentiasa jadikan amalan untuk memeriksa dalam kabin (termasuk tempat duduk penumpang hadapan dan belakang) sebelum mengunci kenderaan anda.

Mulakan amalan ini mulai sekarang.

3) Letak patung permainan anak di tempat duduk penumpang hadapan

Tinggalkan patung permainan di kerusi kanak-kanak. Apabila anda mahu letakkan anak di kerusi itu, pindahkan patung tersebut di tempat duduk penumpang hadapan.

Pilih patung yang besar dan berwarna terang. Patung itu sebagai peringatan bahawa anak anda ada di belakang.

Pastikan ada barangan anak yang diletakkan berhampiran tempat pemandu agar dapat mengingatkan anda. (Gambar hiasan, Freepik)

4) Letak beg susu di bahagian depan kenderaan

Jika anda ada membawa beg susu anak anda bersama, sentiasa letak beg itu di bahagian hadapan.

Konsepnya sama seperti tip ketiga. Ia peringatan bahawa anak anda ada di kerusi kanak-kanak di tempat duduk belakang.

5) Letakkan barang yang penting di belakang bersama anak anda

Contohnya letak beg kerja, kunci pejabat, tag kerja, atau sebelah kasut kiri anda di ruangan kaki di belakang jika anda memandu kereta auto.

6) Letakkan tag atau label pada pemegang pintu sebelah pemandu di bahagian luar

Tag ini menandakan yang anak anda ada di dalam kereta. Label ini boleh dibeli atau dibuat sendiri menggunakan barangan di rumah.

Label yang boleh diletakkan di luar kereta sebagai bantuan peringatan kepada anda.

7) Pesan kepada pasangan untuk mengingatkan anda

Pesan kepada pihak sekolah atau pengasuh agar menelefon anda jika anak anda tidak tiba ke sekolah atau di rumah asuhan pada masanya.

Boleh juga pesan pasangan anda untuk mengingatkan anda, terutamanya jika ada bertukar rutin menghantar anak.

8) Guna aplikasi telefon untuk mengingatkan anda

Guna peranti (device) atau aplikasi telefon untuk mengingatkan anda bahawa anak anda di dalam kereta. Contohnya: ChildMinder SoftClip atau aplikasi Kars 4 Kids Safety.

9) Hidupkan aturan Child Reminder dalam aplikasi navigasi Waze

Bagi yang selalu menggunakan aplikasi navigasi Waze, boleh pilih untuk hidupkan aturan Child Reminder (Settings>Advanced Settings>General>Child Reminder).

Waze akan mengingatkan anda sejurus sampai destinasi. - Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain