suria

Peritnya sakit ketika haid! Ini 5 petua legakan serangan senggugut dengan cepat

Senggugut boleh menyebabkan kesakitan yang melampau kepada wanita. (Gambar hiasan, Freepik)

RASA sakit setiap kali datang haid memang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Sakit yang tidak terperi itu ada kalanya boleh menjejaskan rutin harian kaum Hawa dan mengakibatkan mereka terbaring tidak bermaya di atas katil.

Lebih kerap dipanggil sebagai senggugut atau 'period pain', ia berpunca dari kontraksi rahim yang berlaku sebelum atau semasa kitaran haid itu berlangsung.

Perkara ini menimbulkan persoalan adakah wanita tidak mempunyai cara untuk melepaskan diri daripada cengkaman senggugut?

Senggugut boleh menyebabkan seorang wanita itu tidak keruan kerana kesakitan. (Gambar hiasan, Freepik)

Mungkin tiada rawatan yang dapat menghilangkan senggugut namun ada cara untuk melegakannya sedikit agar sakit itu tidak terlalu menusuk.

Menerusi perkongsian oleh doktor pakar sakit puan di Hospital Houston, Dr Mae Kathleen Borchardt, terdapat beberapa langkah yang boleh diamalkan para wanita ketika diserang senggugut.

Namun begitu, jika senggugut anda masih berterusan selepas mengamalkan langkah-langkah berikut, segera dapatkan rawatan daripada doktor bertauliah di klinik atau hospital.

Ayuh kita lihat petua tersebut dan cuba lihat keberkesanannya nanti.

Tungku panas boleh membantu melegakan sakit senggugut. (Gambar hiasan, Freepik)

1) Panaskan kawasan perut

Ketika anda alami senggugut, disarankan untuk meletakkan bahan yang boleh memanaskan kawasan perut.

Tungku panas seperti apa yang digunakan oleh para ibu ketika pantang bersalin sememangnya berkesan untuk melegakan senggugut.

Bukan itu sahaja, ada banyak pelekat panas untuk melegakan senggugut dijual di farmasi dan anda boleh mendapatkannya dengan mudah.

2) Ubat ‘pain reliever’

Ubat 'pain reliever' atau ubat tahan sakit banyak dijual di pasaran tetapi utamakan pil melegakan kesakitan yang dikategorikan dalam NSAIDs (non-steroidal anti-inflammatory drugs).

Pilihan pil lain yang boleh diambil adalah seperti Ibuprofen (Advil) and Naproxen (Aleve).

Pastikan anda mendapat ubat-ubat kesihatan ini di atas nasihat ahli farmasi atau pakar perubatan terlebih dahulu.

Bersenam boleh mengalihkan perhatian daripada kesakitan yang diakibatkan oleh senggugut. (Gambar hiasan, Freepik)

3) Bersenam

Senaman ternyata sangat membantu untuk melegakan sakit senggugut.

Walaupun hanya senaman ringan, ia boleh membantu untuk melepaskan hormon endorphins yang dapat melegakan kesakitan.

Bukan itu sahaja, senaman juga menjadi salah satu cara untuk anda lepaskan stres dan mengalihkan minda daripada berfikir mengenai sakit senggugut.

4) Lakukan hobi anda

Ketika sakit senggugut menyerang, anda harus cuba mengurangkan stres yang dialami.

Apabila sedang sakit senggugut, ambil masa untuk berehat dan bertenang.

Anda boleh melakukan hobi seperti menonton filem atau membaca buku untuk mengalihkan perhatian daripada sakit yang sedang dialami.

5) Banyakkan pengambilan vitamin

Bukan sahaja mengamalkan diet yang sihat dapat membantu melegakan sakit senggugut, pengambilan vitamin dan mineral yang mencukupi untuk badan juga penting.

Saranan dari pakar ialah untuk mengambil vitamin B1 yang terdiri daripada Thiamin, Magnesium dan Omega 3 yang dapat membantu mengurangkan sakit senggugut.

Antara makanan yang kaya dengan vitamin B1 dan Magnesium adalah bjirin, bayam, bunga kobis, sayur kale, avokado, asparagus dan oren.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain