suria

Oh lelaki! Jaga-jaga gejala patah zakar boleh terjadi... Ketahui punca alat kelamin jadi sakit

Keadaan ini berlaku apabila terdapat trauma pada zakar yang tegak.

KESAKITAN pada bahagian zakar tidak wajar diabaikan, malah ia mungkin membawa petanda bahawa anda memerlukan rawatan perubatan.

Antara kecederaan yang boleh berlaku adalah patah zakar. Kedengaran aneh, namun ia sememangnya boleh berlaku.

Perlu anda fahami bahawa patah zakar sebenarnya bukan patah tulang kerana zakar itu sebenarnya tidak mempunyai tulang.

Namun anda boleh 'mematahkannya' apabila zakar yang tegang dibengkokkan dengan kuat.

Apabila zakar tegak, ia akan penuh dengan darah yang memenuhi dua silinder dikenali sebagai corpora cavernosa.

Jika dibengkokkan atau digerakkan secara paksa ke arah lain secara tiba-tiba, lapisan luar salah satu silinder itu berisiko untuk pecah yang mana keadaan ini digelar sebagai zakar patah.

Walaupun jarang berlaku, keadaan menyakitkan ini boleh terjadi semasa hubungan seksual yang menyebabkan trauma langsung pada zakar.

Bagaimana untuk kenal pasti jika anda mengalami patah zakar?

Dalam situasi ini, bunyi biasanya merupakan petunjuk yang jelas dan telah digambarkan sebagai bunyi kaca pecah.

'jhg

Segera dapatkan rawatan jika mengalami kesakitan pada bahagian alat sulit.

"Patah zakar boleh berlaku apabila terdapat trauma pada zakar yang tegak.

"Trauma mungkin memecahkan lapisan salah satu daripada dua silinder dalam zakar yang bertanggungjawab untuk ereksi," jelas Klinik Cleveland.

Keadaan ini merupakan satu kecemasan perubatan dan anda harus mendapatkan bantuan segera kerana ia boleh menyebabkan mati pucuk.

"Lelaki yang mengalami zakar patah melaporkan mereka terdengar bunyi meletus, kemudian mengalami kesakitan yang teruk, bengkak dan lebam gelap pada zakar," tambah pakar urologi Dr Ryan Berglund.

Namun, tidak semua kesakitan pada bahagian itu berpunca daripada kecederaan patah zakar.

Berikut merupakan beberapa sebab lain yang menjadi punca kesakitan pada alat sulit lelaki:

1. Penyakit Peyronie (berlaku akibat kerosakan pada tisu zakar)

2. Priapisme (ereksi berpanjangan)

3. Pembesaran prostat

4. Kanser zakar

5. Jangkitan seksual

6. Jangkitan pundi kencing

7. Balanitis (keradangan zakar)

8. Phimosis (kulup terlalu sempit)

9. Paraphimosis (kulup tidak boleh ditarik semula ke kepala zakar)

Paling penting, segera dapatkan rawatan jika mengalami kesakitan pada bahagian sulit agar ia dapat dirawat dengan cara yang tepat. - Daily Star.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain