suria

Miss V gatal-gatal? Awas jangkitan kulat vagina... Wanita harus elak pakai seluar dalam kain sintetik, jangan sembur wangian pada kemaluan!

Jangkitan kulat vagina lazimnya berlaku dalam kalangan wanita yang masih subur.

PERNAHKAH anda dengar mengenai jangkitan kulat pada vagina?

Bagi yang tertanya-tanya, jangkitan ini sebenarnya melibatkan pembiakan sejenis kulat berlebihan yang dikenali sebagai Candida Albicans.

Menurut portal MyHealth, kulat ini biasanya ditemui pada bahagian mulut, usus, faraj dan akan menjadi masalah sekiranya pembiakannya berlebihan.

Ia lazimnya berlaku dalam kalangan wanita yang masih subur dan jarang berlaku sebelum bermulanya haid atau selepas menopos.

Sebanyak 15 peratus daripada wanita yang sihat mempunyai kulat ini dan tidak perlu dirawat sekiranya tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda jangkitan.

Bagi wanita yang mempunyai penyakit HIV atau mengandung, insiden jangkitan kulat vagina mungkin lebih tinggi.

file75joq8nv70x1g3m4a5a3

Wanita dinasihati agar mengelakkan pemakaian seluar dalam yang diperbuat daripada kain sintetik.

Malah, 15 peratus daripada pesakit yang mempunyai ketahanan badan yang rendah boleh mendapat jangkitan kulat sistemik yang lebih teruk.

Faktor risiko jangkitan

Antara faktor risiko yang boleh meningkatkan seseorang wanita itu mendapat jangkitan kulat vagina adalah rawatan antibiotik.

Hal ini kerana rawatan antibiotik boleh mengubah bakteria protektif (Laktobacilli) dalam vagina dan menggalakkan pembiakan Candida yang berlebihan.

Antara faktor lain adalah kehamilan, diabetes mellitus yang tak terkawal, penggunaan dos steroid yang tinggi, menghidap HIV, tekanan perasaan dan kekurangan zat makanan.

Anda harus ingat, jangkitan kulat vagina bukan penyakit kelamin.

Namun, pasangan kepada wanita yang menghidapi jangkitan kulat vagina mungkin ada sedikit tanda-tanda seperti gatal dan ruam pada bahagian kemaluan selepas mengadakan hubungan seksual.

Pasangan ini tidak perlu rawatan melainkan ada tanda-tanda atau gejala.

file7e54c1mw7om188fjv5sb

15 peratus daripada wanita yang sihat mempunyai kulat ini.

Tanda-tanda dan gejala

Tanda-tanda jangkitan kulat vagina adalah gatal, rasa hangat, sakit semasa hubungan seksual, tidak selesa, sakit semasa kencing dan irritasi (perengsaan).

Semasa pemeriksaan, doktor mungkin mendapati bengkak dan merah pada bahagian kemaluan dan lelehan putih kekuningan di vagina.

Jangkitan lain seperti bacterial vaginosis atau gonorrhea boleh menyerupai tanda-tanda vaginal candidiasis.

Doktor anda mungkin perlu menghantar spesimen (swab) yang diambil daripada bahagian atas vagina untuk pemeriksaan mikroskopi supaya dapat mengenalpasti jenis organisme penyebab jangkitan.

Elak jangkitan

1. Elak seluar dalam yang diperbuat daripada kain sintetik.

2. Elak daripada meletakkan atau menyembur produk wangi-wangian di bahagian kemaluan.

file7l05hklum851kepel6ap

Pasangan kepada penghidap kulat vagina mungkin ada sedikit tanda-tanda seperti gatal dan ruam pada bahagian kemaluan selepas hubungan seks.

3. Jangan membersih kawasan faraj dengan sabun biasa tetapi gunalah pelembab diperbuat khas untuk faraj atau kawasan kemaluan.

4. Pastikan kawasan di bahagian kemaluan kering dan bersih

5. Kalau anda menghidap diabetes mellitus, pastikan paras glukos anda terkawal.

6. Jika anda menghidap HIV, CD4 yang tinggi dan Viral load yang rendah boleh membantu. Sekiranya anda mempunyai CD4 yang rendah dan viral load yang tinggi, rawatan anti-retroviral akan meningkatkan CD4 dan menurunkan viral load anda dan seterusnya dapat mencegah daripada jangkitan kulat vagina.

Sekiranya mendapat jangkitan kulat vagina, anda boleh berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan rawatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain