suria

Selepas pembedahan bariatrik, kini belon gastrik pula! Bantu individu obes kurus dalam masa 4 bulan

Selain pembedahan bariatrik, terdapat kaedah perubatan lain yang dapat menurunkan berat badan berlebihan.

PEMBEDAHAN bariatrik kini menjadi pilihan utama bagi mereka yang mengalami masalah obesiti dan berat badan berlebihan walaupun kosnya mencecah puluhan ribu ringgit.

Seolah-olah trend baharu, ramai artis terkemuka tanah air mahupun selebriti dan influencer memilih kaedah cepat itu demi mendapatkan bentuk badan ideal selain membantu mereka bebas daripada penyakit kronik yang berkaitan dengan obesiti.

Dr Reynu Rajan.

Dr Reynu Rajan.

Tular pendapat popular dalam kalangan masyarakat bahawa dengan menjalani pembedahan bariatrik mereka tidak perlu lagi melakukan senaman dan menjaga diet seimbang.

Namun menurut Pakar Perunding Bedah Gastrotestinal dan Pembedahan Bariatrik, Dr Reynu Rajan pendapat ini tidak benar sama sekali kerana pengambilan diet yang seimbang dan komitmen terhadap gaya hidup sihat adalah amat penting untuk memastikan penurunan berat badan menerusi pembedahan bariatrik dapat dikekalkan untuk jangka masa panjang.

Bagi mereka yang belum atau tidak bersedia untuk menjalani pembedahan yang melibatkan potongan perut atau pintasan usus, terdapat satu lagi pilihan yang makin popular iaitu belon gastrik atau ‘Intragastric Balloon’.

"Penggunaan belon gastrik dapat mengurangkan isi padu perut tanpa perubahan kekal pada perut.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembedahan bariatrik bukan sahaja atasi obesiti, mampu kawal diabetis dan darah tinggi

"Ia akan menyebabkan pengambilan kalori dalam badan penghidap obesiti berkurang sekali gus menyumbang kepada penurunan berat badan," ujar Dr Reynu Rajan.

Difahamkan, belon gastrik yang dikenali sebagai Elipse Gastric Balloon dapat membantu menurunkan berat badan individu yang bergelut dengan obesity (BMI lebih 27.5) sebanyak 10 hingga 20 peratus dalam jangka masa empat bulan.

Prosedur ini juga lebih mudah dan selamat di mana pesakit hanya perlu duduk di atas kerusi dan menelan belon gastrik berkenaan.

Kemudian bahagian hujung saluran akan diisi air supaya belon yang berada di dalam perut tadi dapat dikembangkan.

Belon gastrik lebih selamat dan mudah.

Belon gastrik lebih selamat dan mudah.

Posisi belon kemudiannya akan dipastikan dengan x-ray sebelum individu tersebut dibenarkan pulang.

Belon ini akan kempis dengan sendiri dalam masa empat bulan dan keluar melalui sistem penghadaman tanpa memerlukan prosedur tambahan.

Individu yang memilih kaedah Ellipse Gastric Balloon akan dinasihati oleh doktor sebelum dan selepas prosedur serta dipantau oleh pakar pemakanan selama 12 bulan walaupun belon sudah hancur.

Kos rawatannya yang jauh lebih murah berbanding pembedahan bariatrik kerana tidak memerlukan sebarang pembedahan, endoskopi atau anestesia (bius) untuk penempatan atau penyingkiran.belon tersebut adalah antara faktor tarikan teknologi baharu ini.

Bagi penghidap masalah obesiti, kaedah belon gastrik mahupun pembedahan bariatrik adalah rawatan-rawatan yang diiktiraf untuk mengatasi masalah perubatan kronik yang berkait rapat dengan berat badan berlebihan seperti kencing manis, darah tinggi, hyperkolesterol, infertiliti, gangguan tidur yang dikenali sebagai obstructive sleep apnea (OSA) dan lain-lain sekali gus membolehkan mereka kembali menjalani kehidupan yang lebih sihat.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain