suria

Nak makan kek beras popular dah tak perlu travel ke Hong Kong, paling istimewa ada inti Musang King

Kwan Kee yang berasal dari Hong Kong terkenal dengan manisan yang diperbuat daripada tepung beras.

HONG Kong merupakan sebuah bandar yang agak mudah untuk mendapatkan makanan halal dan terkenal dengan manisan mesra Muslim.

Tidak hairanlah ramai pelancong, termasuk rakyat Malaysia yang sanggup melancong ke negara itu hanya untuk menikmati makanan dan manisannya yang menjadi sebutan ramai.

Antara kedai manisan terkenal di sana adalah Kafe Kwan Kee yang menjual kek rice bowl, kek bijan kukus, kek span gula putih dan kek kacang merah kukus.

Tetapi kini, anda tidak lagi perlu ke sana untuk mendapatkan manisan autentik tersebut kerana Kwan Kee telah membuka cawangan pertamanya secara rasmi di Malaysia pada awal November lalu.

Mango Sago Pomelo Sticky Rice Roll

Kek yang dijual dibuat berasaskan tepung beras.

Untuk cawangan di Malaysia, mereka memperkenalkan manisan istimewa iaitu kek beras durian yang menggunakan durian jenis Musang King.

Menurut pemilik francais Kwan Kee di Malaysia, Sundy Chim, kek beras ini masih mengekalkan resipi yang sama dalam pembuatannya sejak 1965.

"Tepung beras dikisar setiap hari untuk membuat manisan tanpa menggunakan tepung segera yang dibeli dari kedai. Kami menggunakan mesin pengisar tepung tradisional.

"Setiap manisan yang disediakan dibuat setiap hari untuk menjamin kesedapan dan kesegaran," katanya.

Mr Sundy and Mr Fu (5)

Sundy (kanan) merupakan pemilik Kafe Kwan Kee.

Hasil usaha yang dilakukan mereka, Kwan Kee kini diiktiraf antara kafe jalanan yang disarankan oleh Michelin Guide Hong Kong selama enam tahun berturut-turut dari 2016 sehingga 2021.

“Kami memilih untuk buka cawangan di Malaysia kerana rakyat negara ini gemar menikmati makanan yang enak sehingga digelar sebagai foodie destination (destinasi makanan).

"Selain itu kepelbagaian jenis makanan boleh didapati di Malaysia antara penyebab kami membuka cawangan pertama di sini,” tambahnya.

Kafe Kwan Kee di Malaysia ini juga kini dalam proses untuk mendapat sijil pengiktirafan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

White Sugar Sponge Cake

Tepung beras yang digunakan dikisar menggunakan mesin tradisional.

Jelas Sundy, buat masa ini kesemua bahan yang digunakan dibeli daripada pembekal makanan halal bertujuan untuk memastikan semua kaum di Malaysia dapat merasai keenakan manisan dan kuih dari Kwan Kee.

Bagi mereka yang teruja untuk merasai kesedapan manisan ditawarkan Kwan Kee, anda boleh berkunjung ke kafe yang terletak di SS2, Petaling Jaya, Selangor.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain