suria

Khairil Aslan berkayuh 40 hari panaskan badan keliling semenanjung sebelum mula pendakian tawan puncak dunia

Khairil Aslan memeriksa keadaan fatbike miliknya sebelum memulakan ekspedisinya pada Khamis lalu.

HAMPIR dua tahun berehat daripada sebarang aktiviti pendakian dan kayuhan akibat pandemik Covid-19, penjelajah solo negara, Khairil Aslan Ab Rasid sudah bersedia untuk kembali menjelajah ke seluruh dunia melengkapkan misi yang tertangguh.

Buat permulaan, Khairil memulakan siri kayuhan solo mengelilingi Semenanjung Malaysia sejak 13 Januari lalu yang disifatkan sebagai pemanas badan dan persediaan misi pendakian Projek G3 8000ers 2023.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak mudah, 3 tahun baru dapat lengkapkan misi! Dua sahabat raih pengalaman berharga kembara ke Indonesia naik Vespa

"Ini adalah ekspedisi yang sudah lama saya rancang iaitu selepas pulang dari merentasi Chadar Glasier pada akhir 2019 tetapi tertangguh disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

"Alhamdulillah dengan keadaan semakin pulih dan pelbagai kelonggaran yang diberikan saya mampu meneruskan jelajah 'pemanas badan' ini sebagai persediaan untuk misi menawan tiga puncak gunung tertinggi menerusi Projek G3 8000ers 2023," katanya kepada mStar.

Menerusi kayuhan solo ini, Khairil, 47, menjelajah menggunakan Fatbike yang pernah digunakan semasa merentasi Chadar Glasier, Utara India dalam suhu -35 darjah celcius.

33138AAF-D27C-4399-AF57-670B134277E2

Khairil menyifatkan kayuhan solo kali ini sebagai pemanas badan.

Jelajah solo itu bakal memperlihatkan Khairil akan mengayuh sejauh 2,200 kilometer dengan 55 pit stop dan dijangka menyelesaikan misi itu dalam tempoh 40 hari.

Penjelajah solo itu memulakan ekspedisinya dari Gombak menuju ke Melaka dan Johor sebelum ke Pahang, Terengganu, Kelantan. Seterusnya, Khairil akan menuju ke arah utara sebelum mengakhiri kayuhan di Puchong, Selangor.

Cuaca dan pendakian di Banjaran Titiwangsa cabaran terbesar!

Meskipun sudah terbiasa dengan pelbagai aktiviti lasak, Khairil memberitahu cabaran terbesarnya adalah cuaca selain menyifatkan laluan dari Jeli ke Banjaran Titiwangsa menuju ke Gerik, Perak akan memberi tamparan hebat kepadanya.

"Laluan dari Jeli ke Banjaran Titiwangsa paling mencabar disebabkan jalannya yang berbukit dan banyak pendakian. Tetapi saya memang sukakan cabaran dan melihat ia sebagai latihan terbaik selepas hampir dua tahun tidak melakukan sebarang penjelajahan besar.

"Kayuhan ini juga membolehkan saya menguji ketahanan Fatbike kerana bukan mudah untuk mengawal basikal ini apatah lagi tayarnya lebih besar," ujarnya.

0982CE95-AACF-4F17-B0F5-80134F14DCA6

Penaja dan penyokongnya berkumpul pada acara pelepasan kayuhan solonya.

Sementara itu, Khairil menjelaskan meskipun sepanjang dua tahun ini telah membantutkan banyak ekspedisi yang telah dirancang namun dia menyifatkan pandemik turut memberinya peluang untuk berehat.

Ini kerana sepanjang hampir 20 tahun penglibatannya sebagai penjelajah solo negara, Khairil memberitahu jarang dapat berehat dan sentiasa sibuk dengan pelbagai aktiviti pendakian dan kayuhan.

"Saya sentiasa berfikiran positif meskipun adakalanya rasa rindu hendak kembali mendaki dan menjelajah dunia. Pandemik adalah peluang untuk saya merehatkan diri secara mental dan fizikal.

"Saya memang berehat sepenuhnya daripada sebarang ekspedisi dan hanya menumpukan kepada perancangan dan membuat latihan asas sahaja," katanya.

Meskipun sudah lama tidak beraksi, Khairil bagaimanapun yakin dapat menyelesaikan kayuhan solo itu dalam tempoh ditetapkan malah teruja dapat kembali melakukan aktiviti sudah menjadi darah dagingnya.

713B423B-FB17-44C6-A39B-6E385F74726A

Misinya kali ini mendapat pelbagai tajaan penaja.

"Memang saya sudah lama tidak mendaki dan berbasikal tetapi momentum itu masih ada.

"Seperti saya katakan, kayuhan solo ini adalah sebagai pemanas badan dan persediaan dalam membentuk dan membiasakan fizikal dan mental saya agar tidak terlalu terkejut," jelasnya.

Kayuh sambil pakai batik Sarawak

Menariknya mengenai kayuhan solo itu kata Khairil, dia memakai baju batik Sarawak yang disifatkan dapat memberi kelainan pada kayuhan solonya itu.

Malah katanya, dia membawa sebanyak lapan helai baju batik untuk tujuan itu dan berharap turut dapat memberi inspirasi kepada orang ramai agar lebih cintakan batik tempatan apabila melihatnya dalam persalinan itu.

"Saya kagum dengan semangat anak muda yang bersungguh-sungguh mempromosikan batik Malaysia dan misi mereka selari dengan apa yang saya sering perjuangkan iaitu ingin membuatkan nama Malaysia harum di mata dunia.

FF6FA4D5-8878-45F1-8BDF-652E40D9D192

Khairil sudah dua tahun berehat akibat pandemik.

"Apabila saya cuba sendiri baju batik Sarawak daripada Alfitry Textures Boutique ia sangat selesa dan ringan. Jadi saya fikir mengapa tidak kayuhan kali ini saya tampil kelainan dengan memakai baju batik," katanya.

Selain baju batik, kayuhan solo itu turut mendapat pelbagai perhatian penaja termasuk daripada Kumpulan Ana Global Ventures menerusi dua anak syarikatnya, Ezmeals MRE dan Qaseh Health Resources (QHR) yang menaja pelbagai hidangan enak dan sedap seperti daging kerutuk, daging masak blackpepper, paprik ayam, paru goreng berlado dan ayam kuzi yang sedia dimakan.

Turut dibekalkan Qaseh Kekanda sebagai minuman harian dan membantu menambah tenaga bagi menyempurnakan misinya itu.

Kongsi ilmu dengan masyarakat

Dalam kayuhan solo itu nanti, Khairil turut berharap dapat berkongsi pengalaman dan ilmu apabila singgah di beberapa kawasan dalam memberi inspirasi terutamanya kepada golongan muda yang mungkin mempunyai impian untuk jadi sepertinya.

Malah katanya, itu antara alasan lain dia mahu melakukan kayuhan solo itu dan sentiasa teruja apabila dapat bertemu dengan orang ramai dan menyelami kehidupan masyarakat setempat yang banyak memberi inspirasi kepadanya.

C1949E0C-B206-45AA-A401-D759DC563EF6

Khairil mahu mengharumkan nama negara di mata dunia.

"Pengalaman dan ilmu yang paling berharga adalah melalui mengenali dan menyelami kehidupan masyarakat. Melalui cara itu banyak benda yang boleh kita pelajari dan saya juga mengambil peluang untuk mencurahkan kembali ilmu yang saya ada agar dapat memberi inspirasi kepada orang lain.

"Matlamat saya setiap kali melakukan aktiviti kayuhan memang untuk berjumpa orang ramai, duduk dalam komuniti dan saling berkongsi ilmu dan pengalaman," kongsinya.

Bercakap mengenai perancangan jangka panjangnya, Khairil memberitahu selain Projek G3 8000ers 2023, dia juga sedang merangka misi Explorers Grand Slam iaitu ekspedisi jelajah ke Kutub Utara dan Selatan.

Selain itu, dia merancang untuk melengkapkan misi The Seven Summits iaitu istilah yang merujuk kepada tujuh puncak gunung tertinggi dari tujuh benua di dunia iaitu Gunung Everest, Aconcagua, Denali, Kilimanjaro, Elbrus, Vinson dan Puncak Jaya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain