Moh Berendam Di Lubuk Timah! - Destinasi | mStar

Moh Berendam Di Lubuk Timah!

Kanak-kanak menikmati keseronokan berendam di kolam yang terdapat di Pusat Hotsprings dan Rekreasi Lubuk Timah. - Foto: RONNIE CHIN / The Star

BUKAN sekadar deruan air sungai mahupun pemandangan air terjun, Pusat Hotsprings dan Rekreasi Lubuk Timah adalah lebih daripada itu kerana keunikannya yang mampu menarik pencinta alam sekitar untuk datang beriadah dan merehatkan diri bersama keluarga dan rakan.

Terletak di Simpang Pulai menghala ke Cameron Highlands, Lubuk Timah kini menjadi pusat tumpuan pelancong untuk merehatkan diri dan berenang.

Beberapa tahun sebelum ini, destinasi hujung minggu yang popular itu belum membangun sepenuhnya dan masih kekurangan kemudahan asas.

Selepas beberapa projek penambahbaikan dimulakan pada 2015, Lubuk Timah semakin dikenali ramai dan berubah menjadi destinasi pelancongan dalam negara yang kerap dikunjungi orang ramai.

Buat masa ini, terdapat empat kolam renang kecil dan sebuah kolam renang besar menjadi taruhan kepada pelancong yang gemar berendam dan memanaskan badas di dalam kolam air panas.

Selain itu, terdapat juga kemudahan seperti chalet, gazebo, surau, tapak perkhemahan, bilik karaoke, dewan serbaguna dan dorm ala kontena disediakan di sini.

Lubuk Timah sesuai untuk dijadikan lokasi kem bina semangat kerana turut menawarkan Tree Top Challenge di Prelut Adventure Camp yang terletak berhampiran pintu masuk pusat rekreasi tersebut.

Bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak pula boleh mencabar keupayaan diri di Burma Bridge, Canopy Zip Line, Wood Barrier, Broken Bridge, Bosun’s Chair, Giant Ladder dan Wood Platform.

Bukan itu sahaja, terdapat juga aktiviti jungle trekking dan aktiviti menunggang kuda untuk pencinta alam semula jadi mengeluarkan peluh sambil ditemani keindahan flora dan fauna.

Untuk maklumat lanjut mengenai Pusat Hotsprings dan Rekreasi Lubuk Timah, boleh hubungi 019-244 9056 (Hazarina), 013-433 5361 (Fansuri) dan 013-590 1690 (Hafizah).

Lubuk Timah

Artikel Sebelum

Jom ‘Habiskan Duit’ Di GPO

Artikel Berikut