suria

Tak Susah Bawa OKU Melancong!

Selimut kecil banyak kegunaan.

SIAPA kata golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) tak boleh keluar melancong atau mengembara untuk melihat keindahan bumi ciptaan Tuhan?

Walaupun tidak seperti insan normal, golongan OKU sebenarnya masih boleh menikmati keindahan alam, merasai budaya masyarakat di negara dilawati dan merasai makanan enak yang sering diceritakan oleh rakan-rakan mereka yang pulang melancong dari luar negara.

Berkongsi pengalaman sendiri yang mempunyai suami berstatus OKU tidak menghalang penulis untuk mengembara ke serata dunia membawa insan tersayang untuk melihat sendiri keindahan bumi ciptaan Maha Esa.

Mari kita kongsi apa yang patut dibuat jika mahu membawa ahli keluarga yang berstatus OKU.

Nilai kekangan

Sebelum membawa insan istimewa melancong, perkara yang paling penting adalah untuk menilai kekangan yang ada pada diri mereka.

Misalnya, adakah mereka boleh berjalan tetapi menggunakan tongkat atau memerlukan kerusi roda sepanjang masa. Adakah mereka perlu peneman sepanjang waktu kerana tidak boleh berdikari dan menguruskan diri sendiri.

Keadaan diri OKU sendiri, adakah mereka jenis cepat penat atau tidak boleh berada dalam kalangan orang ramai dan suasana yang sibuk atau bising.

Sebaik menilai keadaan itu, yang lazimnya keluarga atau mereka yang menjaga OKU itu sendiri yang lebih arif, barulah mula mencari destinasi yang dituju kerana jika kekangannya pada fizikal, pastikan lokasi yang mahu dituju tidak menyukarkan perjalanan seperti berbukit atau bertangga.

Atau OKU yang tidak boleh berada di kawasan orang ramai atau bising, jadi elakkan ke lokasi tumpuan pelancong seperti bazar atau pasar malam.

Jika cuaca sejuk, sapu minyak atau krim panas bagi mengelakkan pelancong OKU kekejangan.

Kaji lokasi mesra OKU

Negara maju seperti Eropah, Korea Selatan, Jepun dan Australia mempunyai kemudahan mesra OKU paling hebat dan tidak perlu menjadi kerisauan terutama dari segi tandas dan pengurusan di lapangan terbang sendiri.

Tetapi perlu diingatkan ada juga bandar besar di negara maju misalnya di London dan Amsterdam, banyak hotel yang tidak menyediakan lif.

Jadi, sebelum membuat tempahan, pastikan baca betul-betul kemudahan yang ditawarkan pihak hotel atau emel ke pihak hotel sendiri untuk mengetahui kemudahan yang disediakan.

Jika mahu ke negara Asia kecuali Singapura atau negara ketiga dan negara Arab, banyak persiapan terutama dari segi mental dan fizikal yang perlu difikirkan kerana kemudahan untuk golongan OKU masih kurang terutama tandas duduk dan laluan kerusi roda.

Pilih ejen mesra OKU

Jika menempah dengan agensi pelancongan pula, pastikan pihak ejen tahu kekangan terutama dari segi fizikal yang ada pada ahli kelurga OKU yang mahu dibawa supaya jadual yang diaturkan tidak terlalu padat sehingga mengakibatkan mereka mudah penat.

Kecil tapi penting!


Kit kembara OKU

Senaraikan apa yang perlu dibawa bersama ke mana-mana dalam beg kecil termasuk salinan laporan perubatan, ubat, salinan pakaian sesuai, roti atau biskut, pelapik plastik, selimut kecil (khuatiri penerbangan ditangguhkan banyak kegunaannya), botol kecil dan tag nama serta jenis penyakit.

Nah, apa lagi tiada lagi alasan untuk meninggalkan ahli keluarga yang cacat kerana ada ruang untuk membolehkan insan istimewa ini bersama-sama menyertai percutian keluarga, selain ia mampu menjadi terapi kepada mereka.


Penulis adalah bekas wartawan akhbar perdana yang mempunyai lebih 20 tahun berpengalaman dalam bidang penulisan dan sering menjelajah ke tempat-tempat menarik seluruh dunia.

OKU, melancong, mesra OKU

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Jom 'Meronggeng' Ke JDT

Artikel Lain