Hidangan ‘Kelate’ Terbaik Di Soho Pantai Timur

NEGERI Cik Siti Wan Kembang sememangnya terkenal dengan hidangan tradisi yang amat menyelerakan.

Bermula dengan kuih-muih yang kebanyakannya manis belaka seperti senyuman 'mek Kelate', sehinggalah ke hidangan berat seperti nasi kerabu dan ayam percik putih yang membangkit selera.

Pendek kata, siapa yang berasal dari Kelantan memang cukup bertuah kerana berpeluang menikmati aneka sajian yang lazat.

Baru-baru ini Cik Dhia berpeluang mencuba makanan terkenal Pantai Timur di sebuah restoran yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam untuk diceritakan dalam segmen Dhia Datang kali ini.

Cik Dhia baru nak melilau cari tempat duduk, tapi sekelip mata sahaja orang ramai sudah beratur panjang.

Apa lagi, Cik Dhia terus tidak boleh duduk diam sebab takut makanan yang semuanya nampak sedap-sedap belaka habis dibeli mereka.

Boleh tahan juga penangan restoran Soho Pantai Timur ini. Mana tidaknya, baru dua bulan beroperasi pekerjanya sudah tak menang tangan layan pelanggan.

Hidangan pertama Cik Dhia adalah nasi kerabu berlaukkan ayam dara goreng. Rasa sambal yang pedas dilengkapi ulam 'bertimbun' membuatkan Cik Dhia terus jatuh cinta.

Harga bagi sepinggan nasi kerabu ayam dara ini bernilai RM7.50.

Harga bagi sepinggan laksam pula cuma RM5.

Tambah sedap lagi apabila dipadankan dengan lauk ayam dara yang isinya sangat empuk dan garing. Rasa ayamnya pun segar, memang rugi siapa tak cuba!

Beralih pula pada laksam, kuahnya yang berlemak, pekat dengan isi ikan  dan rasa pedas memang kena dengan selera orang pantai timur.

Macam mana agaknya kuah laksam ini disediakan sebab ia langsung tak berbau hanyir.

Kuahnya tidak terlalu pekat, dan tidak pula terlalu cair. Sedang-sedang orang kata!

Harga bagi sepinggan kerabu maggie adalah RM6.50 dan ia tahan lama kerana mi maggie yang digunakan tidak mudah kembang.

Jangan lupa untuk cuba pencuci mulut, pulut mangga jika berkunjung ke sini.

Macam tak puas makan laksam di sini, Cik Dhia pun pesan lagi dua bungkus untuk dimakan di rumah nanti.

Sesudah itu, Cik Dhia beralih pula kepada menu kerabu maggie. Bagi sesiapa yang tidak tahan pedas, jangan berani untuk cuba kerana rasanya sangat pedas.

Bukan sahaja pedas, kerabu maggie di Soho Pantai Timur ini juga sangat masam dan boleh buat bibir bengkak.

Mana tidaknya, mi maggie dan perencahnya diimport khas dari Thailand. Patutlah ada pengaruh Siam pada masakan kerabu maggie ini.

Soal harga pula, ia ditawarkan pada harga mesra pelajar memandangkan kedudukannya yang berdekatan dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Suasana pada sebelah malam di Soho Pantai Timur sangat meriah.

Pengurus cawangan restoran ini, Darwin Yahya Ismail berkata, menu pantai timur hanya disediakan pada pukul 6 petang hingga 12 tengah malam.

Katanya, nama Soho Pantai Timur diambil daripada dialek Kelantan yang bermaksud tersohor di pantai timur.

Sementara itu, menu tengah hari pula menyajikan konsep nasi campur yang bertepatan dengan selera masakan ala kampung.

Alamat:
Jalan Plumbum X 7/X
Seksyen 7,
40000 Shah Alam
Selangor.

Waktu operasi:
Setiap hari bermula pukul 11.30 pagi hingga 12 tengah malam (kecuali Jumaat bermula pukul 3 petang)

Gambar oleh Yeirkif Abdullah.

Soho Pantai Timur

Artikel Sebelum

Percutian Dipayungi Jutaan Bintang

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain