suria

Penghormatan buat Maradona, pesawat direka menjadi muzium penerbangan... Peminat boleh ‘berhubung’, tinggal pesanan di kokpit

Pesawat Tango D10S direka bentuk menjadi muzium penerbangan sebagai penghargaan kepada Maradona.

SEBUAH kapal terbang diabadikan untuk legenda Argentina, Diego Maradona, dengan direka bentuk menjadi muzium penerbangan sebagai penghargaan kepada bekas juara Piala Dunia 1986 itu yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada November 2020.

Didedahkan pada Rabu lalu, pesawat itu akan memulakan perjalanan di sekitar Argentina sebelum tiba di Qatar untuk Piala Dunia 2020 pada November depan.

Pesawat Tango D10S yang memiliki 12 tempat duduk itu dibiayai syarikat teknologi kewangan Argentina, Give and Get.

Ia memaparkan gambar Maradona mengucup trofi Piala Dunia di badan pesawat, selain mukanya di ekor pesawat.

Kedua-dua sayap pula memaparkan dua gol ketika Argentina menang 2-1 ke atas England di suku akhir Piala Dunia 1986 dengan gol 'Tangan Tuhan' di sayap kiri manakala gol kemenangan yang dianggap jaringan terbaik sepanjang zaman di sayap kanan.

"Saya memang peminat Maradona dan saya akan melihat videonya sebelum tidur," kata Gaston Kolker, Ketua Pegawai Eksekutif, Give and Get, kepada Reuters.

"Ini adalah Piala Dunia pertama tanpa Maradona dan mungkin yang terakhir bersama (Lionel) Messi.

"Apabila rakan sepasukan Maradona yang memenangi Piala Dunia 1986 melihat pesawat ini, mereka sangat kagum dan teruja," kata Kolker ketika pelancaran yang turut dihadiri bekas rakan sepasukan Maradona.

Peminat boleh menaiki pesawat itu dan meninggalkan pesanan kepada Maradona di kokpit, 'berhubung' dengan pemain itu menerusi sistem pintar dan melihat pelbagai kenangan pemain itu serta rakan sepasukannya pada 1986.

Ia turut boleh disewa secara peribadi sebelum dilelong untuk kerja amal. - Timesofindia

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain