suria

Tewas pusingan kedua Terbuka Perancis! Emma Raducanu hadapi tekanan selepas tukar jurulatih

Raducanu menjadi pemain pertama memenangi Grand Slam dari pusingan kelayakan.

JUARA tujuh kali Grand Slam, John McEnroe mendakwa Emma Raducanu berhadapan tekanan untuk menjadi pemenang utama.

Pemain nombor satu Britain yang baru berusia 19 tahun itu ditewaskan pada pusingan kedua Terbuka Perancis oleh pemain nombor 49 dunia Aliaksandra Sasnovich, 28, dari Belarus pada Rabu.

Ini menandakan Raducanu terkeluar pusingan kedua daripada Grand Slam ketika dia bergelut untuk mengekalkan kejuaraannya di Terbuka Amerika Syarikat pada 2021.

Menurut McEnroe, pihaknya perlu bertegas berhubung perkara itu.

"Di Wimbledon tahun lepas dia tidak dapat menamatkan perlawanan kerana tekanan yang dihadapi.

"Kemudian dia tampil dan melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pemain lelaki mahupun wanita dalam tempoh 150 tahun kejohanan tenis berlangsung... dia datang dari kelayakan dan terus menang," ujarnya.

Tambahnya, mungkin mudah untuk orang ramai melupakan bahawa Raducanu baru berusia 19 tahun tetapi dia telah mencapai penghormatan tertinggi dalam arena tenis dengan cara yang begitu dramatik apabila memenangi Grand Slam tahun lepas semasa berada di pusingan kelayakan pertama.

"Kini dia berjaya menduduki tempat ke-12 dunia dan pada masa sama sedang berusaha untuk mencapai prestasi yang baik akibat kecederaan belakang yang berterusan," ujarnya.

Tambah McEnroe, Raducanu juga telah menukar banyak jurulatih dan tindakan itu sukar dipercayai bagi seseorang yang baru memenangi kejuaraan utama.

"Dia telah meletakkan dirinya dalam kedudukan yang sukar, kami tidak pasti sama ada dia selesa dengan mereka. Semoga dalam satu atau dua tahun akan datang dia akan mendapatnya.

"Sejujurnya, jika saya memenangi Terbuka AS setelah melalui kelayakan, saya tidak akan menukar jurulatih untuk tahun depan," jelasnya sambil menambah tindakan itu mungkin melibatkan ibu dan bapanya. - Daily Mail

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain