suria

Sah! Abramovich jual Chelsea, hapus hutang kelab RM8.4 bilion

Stadium Stamford Bridge di London, United Kingdom. foto Bloomberg

PEMILIK Chelsea, Roman Abramovich mengesahkan kelab itu akan dijual dan menghapuskan hutang Chelsea denganya sebanyak £1.5 bilion (RM8.4 bilion).

Dalam perkembangan yang mengejutkan pada Rabu malam, Abramovich mengesahkan beliau dalam proses menjual Chelsea.

Jelas beliau, hasil jualan prospektif itu akan disumbangkan kepada mangsa perang di Ukraine.

Pada Rabu, MailOnline melaporkan kelab itu telah diletakkan di pasaran, dengan tujuan untuk mendapatkan semula sekurang-kurangnya £3 bilion (RM16.8 bilion).

Abramovich yang mengesahkan penjualan kelab itu pada Rabu malam berkata: "Saya ingin menjelaskan mengenai spekulasi dalam media sejak beberapa hari lalu berhubung pemilikan saya terhadap Chelsea FC.

"Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, saya sentiasa mengambil keputusan dengan kepentingan terbaik. Dalam keadaan semasa, saya mengambil keputusan untuk menjual kelab ini, kerana saya percaya ini adalah untuk kepentingan terbaik kelab, peminat, pekerja, serta penaja dan rakan kongsi kelab.

"Penjualan kelab tidak akan dilakukan dengan singkat, tetapi mengikut proses yang sewajarnya. Saya tidak akan meminta sebarang pinjaman dibayar balik.

"Ini tidak pernah mengenai perniagaan atau wang untuk saya, tetapi mengenai semangat murni untuk permainan dan kelab. Selain itu, saya mengarahkan pasukan saya untuk menubuhkan yayasan amal di mana semua hasil bersih daripada jualan akan didermakan.

"Yayasan itu akan memanfaat semua mangsa perang di Ukraine. Ini termasuk menyediakan dana kritikal untuk keperluan mendesak dan segera buat mangsa, serta menyokong kerja pemulihan jangka panjang.

"Ini adalah keputusan yang sangat sukar untuk dibuat, dan tentunya 'sedih' untuk berpisah dengan kelab melalui cara ini. Walau bagaimanapun, saya percaya ini demi kepentingan terbaik kelab.

"Saya harap saya akan dapat melawat Stamford Bridge buat kali terakhir untuk mengucapkan selamat tinggal kepada anda semua secara peribadi. Menjadi sebahagian daripada Chelsea FC merupakan satu keistimewaan seumur hidup dan saya berbangga dengan semua pencapaian bersama.

"Kelab Bola Sepak Chelsea dan penyokongnya akan sentiasa berada di hati saya," kata Abramovich. - Mail Online

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain