suria

Kedah kekal di persada Liga Super

Ortega meraikan jaringan pada perlawanan Liga Super 2019 di Stadium MBPJ, malam Jumaat. fotoBERNAMA

KEDAH mengekalkan rekod tanpa kalah selepas empat perlawanan Liga Super 2019 apabila menewaskan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, malam Jumaat.

Keputusan tersebut menyaksikan skuad Lang Merah terus mendahului carta Liga Super dengan kutipan 10 mata.

Pada aksi di Kelana Jaya, Syahrul Azwari Ibrahim meletakkan Kedah di depan seawal minit keenam perlawanan setelah menanduk masuk hantaran ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar.

Pemain import dari Sepanyol, Fernando Rodriguez Ortega mengesahkan kemenangan skuad Lang Merah setelah menjaringkan gol kedua pada minit ke-40 menerusi serangan balas pantas.

Dalam pada itu, Terengganu FC (TFC) meraih kemenangan sulung selepas empat perlawanan setelah menewaskan Kuala Lumpur 1-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Igor Zonjic muncul wira skuad Penyu selepas menanduk masuk sepakan percuma Lee Andrew Tuck pada minit ke-69.

Kuala Lumpur sebelum itu berpeluang berada di hadapan, namun jaringan Paulo Josue pada minit ke-61 dibatalkan pengadil kerana pemain berkenaan berada pada kedudukan ofsaid.

Terdahulu, masalah lampu limpah menyaksikan perlawanan berkenaan tergendala hampir setengah jam sebelum disambung semula. - BERNAMA

Kedah, Liga Super

Artikel Lain